Perlawanan persahabatan erat hubungan dua pihak

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

DATUK KERAMAT – Ahli  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin menunjukkan bakat sebagai seorang penyerang berkaliber apabila berjaya meledakkan satu jaringan gol pada aksi perlawanan persahabatan di sini baru-baru ini.

Beliau yang mewakili pasukan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jelutong mempamerkan aksi cemerlang tersebut pada perlawanan persahabatan menentang Persatuan Pengusaha Hotel Malaysia Pulau Pinang (MAH).

Gol tersebut terhasil pada 10 minit menuju penamat separuh masa pertama melalui rembatan kencang oleh ADUN Batu Lanchang, Law Heng Kiang sebelum bola tersebut ‘muntah’ daripada tampanan penjaga gol MAH disambar oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon lalu melorongkan bola kepada Afif.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Bandaraya itu kekal satu kosong sehingga tamat separuh masa pertama dengan pasukan diwakili ADUN menyerang bertali arus ke kawasan MAH.

Bersambung separuh masa kedua, kedua-dua pasukan kembali mengasak ke kubu masing-masing sebelum MAH berjaya mendapatkan jaringan penyamaan 15 minit sebelum tamat perlawanan.

Keputusan seri memaksa sepakan penalti diambil kedua-dua pasukan sebelum Mohd. Rashid gagal menyempurnakan sepakan penalti terakhir lalu memberikan kemenangan kepada MAH dengan kiraan 5-4 (termasuk jaringan padang).

Menurut Mohd. Rashid, perlawanan persahabatan sebegitu dapat mengeratkan lagi hubungan antara Kerajaan Negeri dengan pengusahapengusaha hotel memandangkan industri pelancongan juga merupakan satu cabang ekonomi negeri.

“Perlawanan seperti ini diharap dapat diteruskan dari semasa ke semasa,” tambah beliau ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Turut beraksi, ADUN Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, ADUN Pengkalan Kota, Lau Keng Ee dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.