Perluas PTL jika dapat sambutan – Exco

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI

PULAU TIKUS – Dalam usaha merungkai masalah kesesakan lalulintas di sini terutama pada waktu puncak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey dengan kerjasama syarikat pengangkutan awam, Rapid Penang Sdn. Bhd. (Rapid Penang) memperkenalkan perkhidmatan bas ulang-alik percuma, Pulau Tikus Loop (PTL) di sini baru-baru ini.

Perkhidmatan bas PTL berhenti di setiap hentian bas sepanjang Jalan Kelawai, Jalan Bagan Jermal, Jalan Burma dan Jalan Pangkor bermula di pusat membeli-belah Plaza Gurney dan berakhir di Gurney Paragon antara jam 8 pagi hingga 11 malam.

Soo Huey berkata, selain penggunaan bas berbayar dan teksi, perkhidmatan ulang-alik percuma tersebut dianggap mampu mengatasi kesesakan terutama di Jalan Kelawai dan Jalan Burma ketika waktu-waktu puncak.
“Pemandu kereta dan penunggang motosikal boleh meletak kenderaan masing-masing di Jalan Edgecumbe, Jalan Burma, Jalan Kelawai dan Kolej Avenue sekiranya mereka ingin ke destinasi sekitar sini, tidak perlu lagi memandu.

“Bukan sahaja menjimatkan penggunaan minyak petrol, tetapi juga ke arah mendidik orang ramai menggunakan perkhidmatan awam yang terbukti mampu mengurangkan kadar pencemaran,” katanya pada Majlis Pelancaran Pulau Tikus Loop di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Ketua Pegawai Operasi (COO) Rapid Penang, Mejar (B) Mohd. Shukri Abd. Rahman dan wakil-wakil dari Plaza Gurney dan Gurney Paragon.

Terdahulu, Soo Huey menyatakan bahawa inisiatif memperkenalkan PTL tersebut adalah rentetan sambutan yang diberikan orang ramai ketika pelaksanaan kajian melalui Pulau Tikus Green Transport Users Program awal tahun ini.

“Hasil kajian tersebut sememangnya memberangsangkan, malah permintaan untuk mengadakan perkhidmatan bas ulang-alik amat tinggi dengan bukan sahaja mengambil kira mutu perkhidmatan, tetapi juga pengguna perkhidmatan termasuk orang kurang upaya (OKU) dan warga
emas,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Kon Yeow ketika ditemui menyatakan bahawa pengenalan perkhidmatan PTL kini hanya melalui Pulau Tikus dan ia akan diperluaskan sekiranya mendapat sambutan menggalakkan bagi membolehkan penggunaan yang lebih optimum.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan meneliti keberkesanan penggunaannya terlebih dahulu sebelum pertimbangkan untuk memperluaskan perkhidmatan bas ulang-alik ini di kawasan-kawasan tertentu,” ujarnya.

Sementara itu, dalam usaha menambah baik mutu perkhidmatan bas Rapid Penang, Mohd. Shukri memberitahu, pihaknya sedang mengkaji
dan memantau jadual operasi serta laluan perkhidmatan bas di semua destinasi negeri Pulau Pinang.