Perpustakaan Desa Siber Ilmu Changkat terima sumbangan naik taraf RM60,000

Admin

JAWI – Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan RM60,000 bagi projek penarafan Perpustakaan Desa Siber Ilmu Changkat dekat Parlimen Nibong Tebal, susulan permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee.
Mengulas lanjut, Lip Chee berkata, projek penarafan tersebut termasuk pemasangan dua buah pendingin hawa bagi keselesaan perpustakaan yang mula beroperasi pada 2012 tersebut.
“Terdahulu, kerja menaiktaraf siling, tingkap, bumbung, termasuk mengecat semula keseluruhan bangunan berkenaan dilakukan, malah berjaya disiapkan dalam masa lapan minggu sahaja.
“Justeru, dalam usaha meningkatkan keselesaan pengunjung, dua unit penghawa dingin telah dipasang pada awal Mac lalu sepertimana dipersetujui oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang (PPAPP) pada tahun sebelumnya,” katanya pada sidang media di perpustakan berkenaan baru-baru ini.
Tambah Lip Chee, penarafan lain seperti pemasangan kemudahan WiFi atau akses internet secara terbuka turut akan mendorong golongan pelajar ke perpustakaan ini.
“Maka saya harap PPAPP dapat mempertingkatkan kemudahan di setiap bangunan perpustakaan desa supaya hasrat ‘Membentuk Masyarakat Berilmu Dan Berbudaya Membaca’ tercapai,” ujar beliau.