Pertanian Bandar ringankan kos sara hidup

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

JAWI – Bagi meringankan kos sara hidup yang semakin meningkat kini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi mengambil inisiatif memperkenalkan Program Pertanian Bandar anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Bukit Panchor di Pusat Sumber Alam Sekitar di sini baru-baru ini.

Program tersebut merupakan kali pertama membabitkan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dengan bantuan Jabatan Pertanian Pulau Pinang yang berperanan membekalkan biji benih sayur-sayuran serta tanah kepada penduduk yang turut serta.

ADUNnya, Soon Lip Chee berkata, inisiatif berkenaan adalah untuk menggalakkan penduduk di sini menghasilkan sendiri bahan makanan.

“Penduduk boleh menanam sendiri sayur-sayuran di tanah lapang secara individu atau secara komuniti…dan hasil daripada tanaman ini dapat digunakan untuk menampung keperluan harian.

“Sekurang-kurangnya melalui program ini, penduduk setempat dapat mengurangkan kos sara hidup yang dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Pertanian Bandar di sini baru-baru ini.

Tambah Lip Chee, secara tidak langsung program terbabit dapat dijadikan sebagai hobi dan menghabiskan masa terluang dengan bertani.

“Saya amat galakkan penduduk menjalankan aktiviti ini bersama-sama keluarga, khususnya anak-anak mereka supaya (mereka) dapat belajar kemahiran baru.

“Malah, melalui program ini juga, masyarakat akan didedahkan kepada kaedah mengitar semula bahan-bahan buangan dapur yang boleh digunakan sebagai baja organik berfaedah kepada tanaman,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Lip Chee turut menggesa individu, sekolah, JKKK atau mana-mana komuniti yang berminat untuk menyertai program tersebut supaya menghubungi Jabatan Pertanian Pulau Pinang di talian 04 – 537 2144 atau Jabatan Pertanian Daerah SPS, 04 – 582 6824 untuk keterangan lanjut.

Inisiatif tersebut merupakan program kedua seumpamanya di Pulau Pinang selepas dilancarkan di Taman Keenway, Bukit Mertajam untuk daerah Seberang Perai Tengah (SPT) sebelum ini.