Pertanian dalam bandar, kurang kos belanja tambah pendapatan

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ADUN

JAWI – Bidang pertanian mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Mengambil pendekatan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Bukit Panchor dan masyarakat setempat kini mengambil inisiatif khas untuk mempraktik serta mempopularkan kembali budaya bercucuk tanam di sini.

“Benarlah kata orang, kalau kita berbudi pada tanah, besar hasilnya. Hal ini terbukti apabila sejak setahun lalu, Program Pertanian Dalam Bandar dilancarkan dan hasil yang diperoleh kini adalah cukup memberangsangkan.

“Bendi, lobak daun panjang, sayur berdaun seperti kangkung, bayam, sawi, kailan dan salad yang diusahakan penduduk di sini tumbuh dengan begitu segar dan dapat dipasarkan,” ujarnya ketika meninjau hasil tuaian salah seorang penduduk di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi JKKK Bukit Panchor, Tang Kean Phoay.

Pertanian dalam bandar boleh ditakrifkan sebagai proses tanaman intensif produk makanan terpilih di kawasan bandar sama ada melalui teknik hidroponik, aeroponik mahupun secara konvensional.

Di antara kelebihan pertanian dalam bandar adalah membekalkan sebahagian daripada keperluan makanan harian kita di samping meningkatkan taraf ekonomi komuniti yang mengusahakannya.

Menurut Lip Chee, dasar Kerajaan Negeri yang komited dalam menjadikan Pulau Pinang lebih hijau umumnya menjadi tunjang kejayaan program berkenaan.

“Di Eropah, kebanyakan penduduknya mengamalkan penanaman sayur-sayuran atau buah-buahan di halaman rumah atau di atas bumbung bagi kegunaan harian.

“Perkara sama kita cuba aplikasikan di sini. Kita beri pendedahan, ilmu dan dengan minat, ia dilihat mampu menjamin bekalan makanan yang stabil di masa akan datang,’’ jelasnya.

Mengulas lanjut, Lip Chee memberitahu, pertanian adalah salah satu cabang perniagaan dan pertanian dalam bandar merupakan antara solusi terbaik buat masa kini bagi mengurangkan kos perbelanjaan dapur selain menambah pendapatan sampingan sekiranya terdapat hasil tani yang dapat dipasarkan.

“Pada masa sama, pertanian dalam bandar juga mampu meningkatkan intergrasi sosial dan kesejahteraan kejiranan dalam sesebuah komuniti,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Pertanian di bawah MMK Pertanian & Industri Asas Tani Negeri.

Sebagai tambahan, Lip Chee berharap terdapat pihak sama ada pertubuhan atau badan bukan kerajaan (NGO) tampil menyumbang pengetahuan, perkakasan, modal mahupun ruang dalam menjayakan program tersebut di negeri ini.

“Sungguhpun amalan pertanian dalam bandar masih baru di negeri ini, ia dijangka dapat dibangunkan dan dikomersilkan suatu hari nanti.

“Fasa ke-dua telah dimulakan pada penghujung Mac dan ia (program ini) juga bakal diperluaskan ke Kampung Sanglang,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Kean Phoay menyatakan bahawa beliau turut bersetuju agar program pertanian dalam bandar berkaitan digiatkan di negeri ini.

“Ia boleh dijadikan aktiviti masa lapang atau hujung minggu bersama keluarga. Selain memberi manfaat kesihatan, ia juga mampu melahirkan minat terutama kepada generasi muda,” katanya.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);