Peruntukan bina rumah baru menerusi Projek Khas Ekonomi naik

PENAGA – Peruntukan membina rumah baru di bawah program Bantuan Rumah menerusi Projek Khas Ekonomi MMK Pembangunan Desa dinaikkan dari RM35,000 bagi tahun lalu kepada RM40,000 (2015) untuk memastikan keadaan unit kediaman yang dibina adalah lebih lengkap dan sempurna.

Malah, bagi rumah yang dibaiki pula, peruntukan dinaikkan kepada RM15,000 pada tahun ini berbanding RM11,000 (2014).

Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin pada Program Jelajah Desa 2015 Daerah Seberang Perai Utara (SPU) anjuran Projek Khas Ekonomi MMK Pembangunan Desa di sini baru-baru ini.

Afif memberitahu, peruntukan bantuan untuk tahun ini dinaikkan sebagai usaha Kerajaan Negeri menjaga kesejahteraan rakyat dan membantu mereka yang memerlukan.

“Peningkatan ini adalah bagi membolehkan penerima menerima rumah ini dalam keadaan yang sempurna dan lebih lengkap tanpa membuat apa-apa penambahan selepas ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Turut sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) SPU, Hakmal Effendi Ishak, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah SPU, Saiful Rizan Sanusi, Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan), Muhamad Fariz Osman, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Bertam, Asrol Sani Abdul Razak dan PPK Pinang Tunggal, Muhasdey Muhammad.

Sempena program berkaitan, seramai lima penerima terpilih menerima serahan kunci rumah di bawah Program Bantuan Rumah oleh Kerajaan Negeri.

Malah, seramai 10 usahawan terpilih turut menerima bantuan peralatan perniagaan sebagai usaha Kerajaan Negeri membantu meningkatkan pendapatan penduduk di negeri ini.

Menurut Afif, sehingga kini, bagi Daerah SPU, sebanyak 12 rumah telah dibina dan disiapkan dan dibaiki untuk fasa pertama (9).

“Sebanyak 12 rumah baru dan 14 rumah untuk dibaikpulih sedang diuruskan untuk fasa kedua sebelum berakhir tahun ini,” ujar beliau.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);