Peruntukan pembangunan RM12. 55j naik taraf rancangan perumahan demi keselesaan rakyat

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menyediakan RM12.55 juta peruntukan pembangunan bagi kerja-kerja menaik taraf dan membaiki lapan rancangan perumahan di Pulau Pinang bagi tahun 2016.

Antaranya, Rancangan Perumahan Taman Free School (daerah Timur Laut, DTL), Rancangan Perumahan Padang Tembak (DTL), Rancangan Perumahan Mak Mandin (daerah Seberang Perai Utara, SPU), Rancangan Perumahan Taman Tun Dr. Awang, Bagan Ajam (SPU) dan Rancangan Perumahan Seberang Perai Selatan (SPS).

(Rujuk Lampiran A pecahan peruntukan pembangunan). Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, peruntukan pembangunan disediakan Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perumahan itu antara lain bertujuan memberi prasarana terbaik dan selesa di semua rancangan perumahan kerajaan di negeri ini.

“Kerajaan Negeri hari ini sentiasa mementingkan kesejahteraan rakyat terutama dalam membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana mengecapi kehidupan yang lebih selesa serta berkualiti.

“Oleh itu, peruntukan pembangunan yang disediakan ini akan diguna sebaik mungkin bagi kerja-kerja menaik taraf rancangan perumahan seperti menaik taraf sistem elektrik, sistem perpaipan, tangki air, lif dan menambah baik sistem saliran,” ucapnya pada Majlis Pelancaran Program Pengasingan Sisa di Punca dan Sehari Bersama-sama Penduduk Perumahan Awam Kerajaan Negeri dekat Taman Tun Sardon di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer dan Akhmal Abu Basar, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Dalam perkembangan lain, Jagdeep
menyeru kepada semua pihak agar memberi kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menjayakan pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa di Punca mulai 1 Jun ini.

“Sehingga ke hari ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) membelanjakan sejumlah RM199.3 juta bagi menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di Pulau Pinang.

“Jumlah ini merangkumi 40 peratus peruntukan tahunan bagi tahun 2016 dan ia merupakan satu jumlah yang besar.

“Oleh itu, saya menyeru, kerjasama semua pihak untuk menjadikan pengasingan sisa di punca sebagai satu amalan demi kelestarian masa hadapan,” ujarnya.

Kerajaan Negeri melalui kedua-dua PBT dan dibantu oleh Penang Green Council (PGC) telah menetapkan tarikh pelaksanaan sisa di punca pada 1 Jun 2016.

Pengasingan melibatkan dua aliran utama iaitu sisa kering yang boleh dikitar semula dan sisa domestik atau sampah.

Mekanismenya pula adalah berbeza bagi setiap institusi iaitu sebagai contoh, bagi kediaman bertingkat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) bersama-sama Bahagian Perumahan akan menyediakan tempat kitar semula dan tong-tong bersesuaian termasuk melantik agen kutipan barangan kitar semula.

Manakala, ADUN pula akan melakukan pemantauan bersama-sama agensi-agensi lain yang terlibat. Carta pecahan peruntukan pembangunan bagi tahun 2016 adalah seperti berikut;

Bil. Rancangan- rancangan Perumahan Kerajaan
Jumlah Kos
1 Rancangan Perumahan Taman Free School
RM1,250,000
2 Rancangan Perumahan Padang Tembak
RM2,055,000
3 Rancangan Perumahan Kampung Melayu
RM370,000
4 Rancangan Perumahan Taman Tun Sardon
RM1,406,000
5 Rancangan Perumahan Mak Mandin
RM3,774,000
6 Rancangan Perumahan Taman Tun Dr. Awang
RM500,000
7 Rancangan Perumahan Seberang Perai Selatan
RM400,000
8 Kerja-kerja pembiayaan bersama Perumahan Mampu Milik Jenis A (Kos Rendah) dan Jenis B (Kos Sederhana Rendah)