Perutusan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada 16 Disember 2017 Sempena Upacara Pemberian Wang Bantuan Kepada Mangsa Bencana Banjir Dan Ribut 5 November 2017

BENCANA banjir dan angin ribut kencang pada 4-5 November 2017 telah mendatangkan impak yang besar kepada ramai rakyat Pulau Pinang.

Siapa boleh lupakan feri yang berat diangkat naik oleh angin kencang sehingga ditolak ke atas darat?

Banyak kediaman, perniagaan, organisasi dan kenderaan telah mengalami kerosakan teruk akibat banjir ribut yang paling teruk dalam sejarah Negeri Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertekad membantu rakyat meringankan beban kewangan dan membolehkan ekonomi Negeri Pulau Pinang bangkit semula dengan perlaksanaan Program ”Pulau Pinang Bangkit”.

Program bernilai RM105 juta ini, merangkumi usaha gotong-royong membersihkan kawasan banjir yang diadakan besar-besaran sejurus selepas kejadian banjir, koordinasi dan penyampaian barangan bantuan, diskaun cukai pintu, diskaun bil air, pengecualian surcaj konservasi air bagi pengguna domestik, penggantian dokumen kerajaan negeri yang rosak atau hilang, dan pemberian wang bantuan kecemasan (one-off) RM700 bagi setiap isi rumah mangsa.

Inilah bayaran kepada mangsa banjir yang paling besar dalam sejarah Malaysia.

Kerajaan Negeri masih tunggu dengan penuh harapan bantuan banjir daripada Kerajaan Persekutuan, bukan sahaja meluluskan projek tebatan banjir sebanyak RM1 bilion tetapi juga bantuan kewangan RM500 kepada setiap mangsa banjir sama seperti yang dibayar kepada mangsa banjir di negeri lain.

Tidak boleh diterima langsung bahawa di antara tahun 2013-2017, daripada RM235 juta bantuan kewangan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada mangsa banjir, Pulau Pinang hanya menerima RM35,500 atau 0.015% sahaja.

Mengapakah rakyat Pulau Pinang didiskriminasikan sungguhpun mereka juga rakyat Malaysia?

Adalah diharapkan Kerajaan Persekutuan boleh ketepikan kepentingan politik demi rakyat dan bantu mangsa banjir negeri Pulau Pinang,
Perutusan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada 16 Disember 2017 Sempena Upacara Pemberian Wang Bantuan Kepada Mangsa Bencana Banjir Dan Ribut 5 November 2017 sepertimana yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri pada hari ini.

Tempoh permohonan untuk wang bantuan kecemasan (one-off) RM700 telah berlangsung 21 November 2017–2 Disember 2017.

Mangsa-mangsa ribut dan banjir telah mendaftarkan diri dengan mengisi borang atas talian di http:// www.penangbangkit.com dan selepas itu membawa dokumen-dokumen pendaftaran ke Pusat Khidmat ADUN Kerajaan Negeri, Pusat Khidmat Penyelarasan KADUN atau Pejabat Daerah yang berkaitan.

Dalam masa 12 hari tersebut, seramai 52,950 permohonan telah diterima oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Inilah tempoh permohonan yang paling singkat untuk permohonan berskala besar ini dalam sejarah negara.

48,424 permohonan telah diluluskan di mana 12% pemohon telah memilih untuk menghadiri upacara pemberian wang bantuan secara tunai dan 88% pemohon telah memilih untuk menerima wang bantuan secara kredit terus ke dalam akaun bank.

Kelmarin, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyalurkan wang bantuan kepada 41,892 orang mangsa banjir secara kredit terus ke dalam akaun bank mereka.

Wang yang telah dikreditkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjumlah sebanyak RM 29,324,400.

Hari ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan teruskan dengan Program ”Pulau Pinang Bangkit”.

Kami akan menyampaikan sejumlah RM 4,147,500 kepada 5,925 orang mangsa banjir melalui Upacara Pemberian Wang Bantuan Secara Tunai yang diadakan serentak di kelima-lima daerah di Negeri Pulau Pinang.

Daerah dengan paling ramai penerima wang tunai adalah Daerah SPU dengan 2,086 orang, disusuli oleh Daerah SPT 2,014 orang dan Daerah DTL 1,052 orang. Kawasan DUN yang mempunyai paling ramai penerima wang bantuan secara tunai adalah DUN Seberang Jaya 801 orang, DUN Bertam 613 orang, DUN Datuk Keramat 578 orang dan DUN Sungai Dua 527 orang.

Jumlah besar wang yang dijangka disampaikan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada mangsa-mangsa banjir melalui kredit terus ke dalam akaun bank dan Upacara Pemberian Wang Bantuan Secara Tunai adalah RM 33,896,800 kepada 48,424 pemohon (RM 4,147,500 melalui upacara dan RM 29,749,300 dikredit terus ke dalam akaun bank).

Pada keseluruhannya, Kawasan DUN yang mempunyai paling ramai mangsa banjir adalah DUN Sungai Dua yang telah meluluskan 4,553 permohonan, DUN Padang Lalang yang telah meluluskan 4,363 permohonan, DUN Seberang Jaya yang telah meluluskan 3,279 permohonan,dan DUN Machang Bubuk yang telah meluluskan 3,268 permohonan.

Di sebelah Pulau, Kawasan DUN yang mempunyai paling ramai mangsa banjir adalah DUN Datuk Keramat yang telah meluluskan 2,238 permohonan, DUN Pulau Betong yang telah meluluskan 2,140 permohonan, dan DUN Air Itam yang telah meluluskan 1,701 permohonan.

Dimaklumkan juga wakil dibenarkan untuk menerima bantuan ini dari pejabat daerah pada hari Isnin (18/12/17) hingga Rabu (20/12/17) bagi penerima yang tidak dapat hadir pada hari ini (16/12/17).

Kerajaan Negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang menghulurkan bantuan penyelamatan dan juga badan amal NGO seperti Tzu Chi yang menderma wang puluhan juta dan tenaga kerja beribu-ribu.

Juga tidak terlupa orang awam dari dalam dan luar Pulau Pinang yang telah membantu rakyat dan ekonomi Pulau Pinang bangkit dan pulih termasuk menyumbang tenaga kerja dan menderma wang.

Syabas diucapkan kepada pegawai-pegawai Pusat Khidmat ADUN, Pusat Khidmat Penyelaras KADUN dan Pejabat Daerah yang berusaha bersungguh-sungguh memproses 52,950 permohonan dalam masa yang singkat ini.

Adalah amat membanggakan melihat usaha memulihkan Negeri Pulau Pinang adalah dibuat secara kerjasama dan perkongsian di antara sektor awam, swasta dan rakyat.

Ramai yang puji kemampuan rakyat membersihkan semula Pulau Pinang dalam masa singkat 10 hari sahaja.

Mujurlah sektor pembuatan dan perkhidmatan yang merupakan nadi utama ekonomi negeri, tidak terjejas teruk dan dapat pulih dengan segera.

Marilah kita bangkit bersama dan teruskan matlamat Negeri Pulau Pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa dan pintar yang paling berjaya di Malaysia.

LIM GUAN ENG Ketua Menteri Pulau Pinang