Pesara, penerima APC akui ‘macam keluarga’ bekerja di MPSP

38 tahun bekerja di MPSP ‘macam keluarga’, kata ZAITON ABD. RASHID, 57, ketika ditemui dalam Majlis Penghargaan Pesara Tahun 2018 Dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Dewan Millenium Kepala Batas di sini 13 Mac lalu.

Serentak itu, seramai 53 kakitangan yang bersara pada tahun ini turut diraikan dalam majlis jamuan tengah hari sama.

Mereka, tidak termasuk 13 waris serta anggota keluarga lain kepada kakitangan yang telahpun meninggal dunia sepanjang tempoh setahun ini.

Menurut Zaiton, semangat kekeluargaan sebegitu terserlah kerana corak pentadbiran MPSP adalah ‘dari atas ke bawah’ dan ‘dari bawah ke atas’.

“Berkhidmatlah dengan cara cemerlang, kerana MPSP ini adalah ‘keluarga besar’ kita. Jaga nama baik MPSP.

“Bagi pekerja baru, jangan curi tulang dan bekerjalah dengan baik-baik,” kata kakitangan dari Jabatan Perkhidmatan Perbandaran berkenaan kepada Buletin Mutiara di sini.

Pada majlis berkaitan, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow ketika berucap menyatakan bahawa Kerajaan Negeri hari ini sangat berharap seluruh kakitangan MPSP terus bekerja keras demi memburu pengiktirafan daripada pertubuhan dunia.

“Sumbangan anda kepada MPSP akan dikenang suatu hari nanti jika anda pada hari ini terus bekerja keras,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut memuji pentadbiran Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud kerana berjaya mewujudkan Upcycle Park dekat Bandar Perda.

“Pembinaan Upcycle Park di Bandar Perda ini boleh dikatakan merupakan yang pertama di Malaysia, dan kelak mereka yang terlibat dalam projek menggunakan barang-barang kitar semula untuk dijadikan ikon tarikan di taman rekreasi ini, tentu akan dikenang jua seperti kakitangan MPSP bakal bersara pada hari ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

N. MUTHU, 60, menyatakan bahawa beliau berkhidmat bersama-sama MPSP selama 38 tahun dan akan bersara wajib pada bulan November ini.

Beliau ditemani isteri, M. Letchumi, 59, melahirkan rasa sebak apabila terkenang pahit manis bekerja sebagai buruh di Jabatan Pembersihan.

“Dahulu saya bekerja sebagai buruh, tapi sekarang saya adalah ‘mandor’.

“Kerja di MPSP, walaupun macam keluarga tapi kita mesti ada disiplin, hanya mereka yang ada disiplin kerja tinggi akan terus bekerja di sini,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Tambah Muthu, beliau begitu bangga apabila Seberang Perai kian dikenali sebagai sebuah bandar yang bersih.

“Walaupun saya kerja di peringkat bawah, apabila ada orang cakap jalan di Seberang Perai ini bersih, saya sangat bangga dan puas hati,” ujarnya dalam nada sebak.

MUHAMAD ZULIKQRAM ZULKIFLI, Penolong Pegawai Tadbir (Kontrak) merupakan salah seorang penerima APC daripada pentadbir MPSP.

Bercakap kepada pemberita, menurutnya, beliau berasa begitu dihargai apabila mendapat anugerah tahunan kali ini.

“Saya berkhidmat dengan MPSP sejak tahun 2013, dan ini kali pertama saya mendapat APC.

“Pahit manis kerja di MPSP tentulah ada, bagi saya yang terlibat dalam kerja-kerja menjayakan program-program rasmi MPSP.

“Tentulah saya berasa begitu dihargai, selama lima tahun berkhidmat, akhirnya dapat APC daripada MPSP,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada pihak pentadbir MPSP.