Pesara terharu terima kaki palsu mudah pergerakan

DATUK KERAMAT – Seorang pesara tentera tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira selepas menerima bantuan kaki palsu hasil sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Sigh Deo di sini baru-baru ini.

Aziz Naina Mohamed, 73, berkata, pada tahun 2012, kaki kirinya terpaksa dipotong sehingga ke paras lutut akibat penyakit kencing manis yang serius.

“Syukur, alhamdulillah dengan bantuan yang diberikan ini. Saya amat gembira kerana hajat untuk berjalan semula sudah ditunaikan.

“Selepas ini, saya akan berlatih untuk berjalan memandangkan sebelum ini saya banyak menghabiskan masa di atas kerusi roda sahaja ataupun terpaksa meminta bantuan untuk bergerak,” ujarnya pada majlis penyerahan sumbangan kaki palsu di kediamannya di Jalan P. Ramlee di sini baru-baru ini.

Menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan berkaitan ialah Jagdeep sendiri sambil ditemani Eksekutif Jualan Teh Lin Prosthetic and Orthopedic Co. Sdn. Bhd., Sally Lim.

Menurut Jagdeep yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, terdapat dua individu di kawasan Datuk Keramat memerlukan bantuan kaki palsu.

“Salah seorang daripadanya ialah Pakcik Aziz (Aziz Naina), yang mana hari ini (15 Januari lalu), kita sampaikan sendiri kepada beliau di kediamannya.

“Seorang lagi penerima adalah di Taman Free School yang juga dijadualkan menerima kaki palsu pada penghujung bulan Januari 2016,” jelasnya sambil menyatakan bahawa jumlah sumbangan adalah bernilai RM3,950 hasil daripada peruntukan beliau sebagai ADUN.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);