PIHH, Aladdin Group meterai MoU ke arah prospek pembangunan industri halal

GEORGE TOWN – Agensi fasilitasi halal Pulau Pinang, PIHH Development Sdn. Bhd. (Halal Penang) dan pengendali platform elektronik dagang (e-dagang) halal premium eksklusif pertama dunia, Aladdin Group Sdn. Bhd. memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menggalakkan usahawan dalam industri halal menguasai teknologi digital ke arah kemajuan di peringkat global.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, melalui jalinan kerjasama antara Halal Penang dan Aladdin Group Sdn. Bhd. (Aladdin Group) tersebut, industri halal tempatan dapat meraih pelbagai faedah merentasi sempadan global.

“Sesi memeterai MoU bersamasama Aladdin Group menyaksikan suatu perkembangan baharu ke arah prospek pembangunan industri halal di Pulau Pinang serta mengukuhkan jaringan e-dagang dalam penawaran kebolehcapaian di pasaran antarabangsa.

“Di samping itu, ia juga menawarkan fasilitasi import dan eksport merangkumi rangkaian bersama 20 platform e-dagang di seluruh dunia,” ujarnya pada Majlis Menandatangani MoU Antara Halal Penang dan Aladdin Group di sini 6 Disember lalu.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Pengerusi Halal Penang, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan Pengasas Bersama yang juga Timbalan Presiden Aladdin Group, Datuk Wesley Ong King Seng menandatangani Mou berkaitan di hadapan Ketua Menteri dan Naib Presiden Aladdin Group, Datuk Seri Vincent Tiew.

Menurut Guan Eng, sejak penubuhan Halal Penang pada April 2009, pembangunan industri halal di Pulau Pinang merekodkan pertumbuhan progresif.

“Malah, Zon Makanan di Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang Fasa 1 dan 2 yang memiliki status HALMAS – Halal Malaysia HDC Designated Halal Park mencatatkan nilai pelaburan sejumlah RM717.46 juta.

“Jumlah syarikat halal berdaftar di Pulau Pinang juga bertambah daripada 55 syarikat pada 2009 menjadi 948 syarikat halal sehingga pertengahan 2017.

“Dengan perkembangan pesat dalam e-dagang global, saya yakin pasaran Aladdin (e-marketplace) mampu melonjakkan tahap perniagaan dan industri halal Pulau Pinang ke persada antarabangsa,” katanya.