Pilihanraya, Exco gesa Kerajaan tingkat kuota calon wanita

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DANNY OOI

GEORGE TOWN – Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng menggesa Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang merupakan Kerajaan Pusat supaya melakukan pindaan terhadap Akta Pilihan Raya bagi pelaksanaan kuota 30 peratus calon wanita pada pilihanraya akan datang sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) juga seharusnya serius dalam mempertimbangkan penukaran sistem pilihanraya first-past-the-post yang sedia ada kepada sistem perwakilan berkadar seperti Indonesia.

Chong Eng memberitahu, pada pilihanraya lalu (26 Oktober 2014), Indonesia berjaya melantik lapan menteri wanita dalam kabinet barunya termasuk Menteri Luar Negeri wanita yang pertama.

“Pelantikan bersejarah ini adalah sebahagian daripada trend perwakilan politik wanita yang semakin meningkat dalam sistem demokrasi Indonesia yang semakin matang.

“Sistem pilihanraya perwakilan berkadar yang dilaksanakan telah meningkatkan peluang kepada calon-calon wanita dan minoriti yang adil kepada parti-parti lebih kecil skalanya untuk memperoleh kerusi.

“Sebaliknya, Malaysia jauh ketinggalan di peringkat Eksekutif dan Perundangan kerana daripada kabinet Malaysia seramai 35 menteri, hanya dua daripada mereka adalah wanita,’’ katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Aloyah A. Bakar.

Tambah beliau, pada masa kini, wanita hanya memegang 10.4 peratus atau 23 kerusi Parlimen, iaitu peratusan yang gagal ditambah baik sejak tahun 1999 Katanya, mengikut Indeks Pemberdayaan Politik yang mengambil kira bilangan wanita di Parlimen, memegang jawatan menteri dan yang menjadi pemerintah negara, Malaysia hanya menduduki tangga ke-132 daripada 142 buah negara di ASEAN. Malah, Indonesia jauh mendahului Malaysia di tangga ke-86.

“Jika Malaysia ingin menyaingi Indonesia dan negara-negara demokrasi yang kian matang, seharusnya kerajaan meletakkan komitmen.

“Malaysia seharusnya meletakkan komitmen untuk meningkatkan perwakilan wanita dalam arena politik melalui satu tindakan yang konkrit,” tegas beliau.