Pindaan Akta Kanak-kanak 2001 perlu perincian lanjut – Exco

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : SHUM JIAN-WEI

 

GEORGE TOWN – Pindaan terhadap Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan tindakan lebih tegas terhadap pesalah jenayah dilihat tidak mencukupi untuk melindungi hak dan keselamatan kanakkanak di negara ini.

Pindaan akta berkaitan yang diluluskan pada April 2016 membabitkan lebih 70 peratus penggubalan semula (akta berkaitan) termasuk mewujudkan daftar pelaku jenayah. Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berkata, Akta Kanak-kanak 2001 masih memerlukan penelitian lanjut untuk perlindungan terhadap golongan kanak-kanak secara menyeluruh termasuk menghalang kes eksploitasi seksual seperti pedofilia yang terus meningkat di negara ini.

“Sehingga kini, terdapat sebilangan kes (pedofilia) terus mencatatkan peningkatan, terutamanya kes jenayah seksual dan peratusan tinggi adalah laporan kes-kes melibatkan gadis.

“Saya percaya, apa yang lebih penting adalah mengenalpasti langkah komprehensif bagi mengatasi masalah ini, di samping meningkatkan kesedaran mengenai jenayah seksual atau pedofilia terhadap kanak-kanak,” ujarnya ketika mempengerusikan perbincangan meja bulat yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) di sini baru-baru ini.

Beberapa Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta wakil-wakil dari pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut serta dalam persidangan berkaitan.

Difahamkan, undang-undang baru yang diperkenalkan telah meningkatkan jumlah penalti kepada RM50,000 dan 20 tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan di bawah akta tersebut.

Justeru, Chong Eng berharap butiran lanjut perbincangan tersebut dapat dibawa ke persidangan Parlimen akan datang sebelum ianya diwartakan.

“Penting untuk merangka satu Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memberi pendedahan kepada masyarakat dan meningkatkan kesedaran umum,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.