Pindaan Pusat bagi kelayakan PPR tidak logik & sukarkan golongan berpendapatan rendah – Exco

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Pindaan kadar kelayakan pendapatan isi rumah bagi pemilikan dan penyewaan unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) oleh Kerajaan Pusat berkuatkuasa mulai 7 September lalu menyebabkan kesukaran kepada golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan unit rumah berkaitani.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, persetujuan pindaan tersebut dimaklumkan melalui surat rasmi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertarikh 12 Oktober lalu.

“Saya telah menerima surat tersebut yang memaklumkan persetujuan pindaan kadar kelayakan pendapatan isi rumah dinaikkan dari RM2,500 ke RM3,000 berkuatkuasa mulai 7 September 2016.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sama sekali tidak bersetuju dengan kadar kenaikan kelayakan pendapatan isi rumah ini, yang menjejaskan peluang untuk golongan berpendapatan rendah iaitu mereka yang menerima kurang dari RM1,500 untuk memiliki atau menyewa unit-unit rumah PPR.

“Kenaikan kadar ini menyebabkan golongan yang berpendapatan lebih rendah terpaksa bersaing dengan golongan yang berpendapatan lebih dari mereka (RM3,000).

“Lagipun, perkara ini (kenaikan kadar) langsung tidak dibincangkan dengan ahli-ahli Exco dan Menteri-menteri Perumahan negerinegeri di Malaysia,” ujarnya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, sejak 2002, di Pulau Pinang, kadar kelayakan pendapatan isi rumah bagi penyewaan PPR adalah RM1,500 dan ke bawah.

“Objektifnya adalah untuk memastikan golongan berpendapatan rendah sahaja layak menerima unit rumah PPR dan sebarang cadangan kenaikan pasti menjejaskan peluang mereka.

“Malah, ia adalah tidak logik, kerana kini seseorang pemohon layak membeli sebuah rumah mampu milik (RMM) Jenis A (kos rendah) atau RMM Jenis B (kos sederhana rendah) dengan kelayakan pendapatan isi rumah RM2,500 dan RM3,500 masing-masing.

“Jadi, tidak wajar mereka yang layak memiliki RMM Jenis A turut layak memiliki unit rumah PPR,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Jagdeep turut menyeru Kerajaan Pusat supaya membina lebih banyak unit rumah PPR di Pulau Pinang.

“Daripada 102,118 unit rumah PPR seluruh negara, Pulau Pinang hanya memiliki 999 unit rumah PPR, antara terendah di Malaysia.

“Malah, untuk rekod, dalam Bajet 2013, sejumlah 20,454 unit rumah PPR diumumkan akan dibina dan Pulau Pinang hanya menerima 70 unit atau 0.34% sahaja.

“Begitu juga dalam Bajet 2017 yang diumumkan baru-baru ini, sebanyak 21,100 unit rumah PPR akan dibina, tetapi tidak dinyatakan sama ada ia akan dibina di sini (Pulau Pinang) atau sebaliknya,” ujarnya yang sekali lagi menyatakan ketidaksetujuan pindaan kenaikan kadar pendapatan isi rumah tersebut.

Sebagai rekod, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga tidak bersetuju dengan saranan Kerajaan Pusat untuk menaikkan harga RMM Jenis A (kos rendah) kepada RM65,000 dan RMM Jenis B (kos sederhana rendah) kepada RM100,000 memandangkan kesukaran memperoleh pinjaman bank bagi pemilikan rumah. Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih mengekalkan harga bagi RMM Jenis A pada kadar RM42,000 dan RMM Jenis B (RM72,500).