Pinjaman TUTM, Hafizan berhasrat buka ‘kebun’ baru kelulut

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Ternakan lebah kelulut cukup sinonim dengan industri asas tani yang diusahakan di kawasan luar bandar.

Selain memberi pulangan lumayan, penternakan lebah kelulut turut dijadikan tarikan kepada mereka yang ingin melihat sendiri ‘kebun’ ternakan lebah kelulut ini.

Bagi Mohd. Hafizan Abdul Rashid, 30, dari Alma, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah (SPT), beliau memulakan penternakan lebah kelulut semenjak melihat kejayaan rakannya yang merupakan salah seorang penternak lebah kelulut.

Bermula hanya sekadar suka-suka, kini beliau mula menitip hasil yang lumayan menerusi 30 sarang lebah kelulut yang diusahakannya.

“Walaupun pada mulanya saya sedikit ragu, namun, setelah melihat kawan-kawan dan berkat usaha serta keyakinan diri, saya mengorak langkah cuba berjinak-jinak dengan lebah kelulut.

“Saya hanya menggunakan kawasan halaman berdekatan rumah untuk ternakan ini dan kini saya telah memiliki 30 sarang lebah kelulut,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik itu, penternakan lebah kelulut tidaklah cerewet, namun memerlukan pemantauan yang konsisten bagi memastikan lebah kelulut dapat menghasilkan madu.

“Lazimnya, kebanyakan penternak lebah kelulut menternak kelulut jenis Heterotrigona Itama kerana senang diperoleh. Saya sendiri membelinya di Baling (Kedah) dan Kelantan.

“Cuma, cabaran penternakan lebah kelulut ini terletak kepada keadaan cuaca, misalnya tahun lalu, cuaca panas yang berpanjangan telah menyebabkan lebah kelulut kurang menghasilkan madu.

“Begitu juga penyakit, lebah kelulut boleh terdedah kepada penyakit sekiranya keadaan cuaca terlampau panas,” katanya.

Apabila ditanya perancangan masa hadapan, Hafizan berkata beliau berhasrat untuk menambah bilangan sarang lebah kelulutnya.

“Baru-baru ini saya ada terima pinjaman Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM) dan saya bercadang untuk membuka ‘kebun’ baru.

“Kali ini saya mencari kelainan, saya akan tanam pokok tin jenis ‘Iraqi’ sebanyak 150 pohon dan menambah bilangan log atau sarang lebah kelulut berbanding sebelum ini, yang mana saya lebih banyak menggunakan bunga-bungaan sebagai makanan kepada kelulut.

“InshaAllah, saya percaya penghasilan madunya nanti akan lebih baik, berkualiti dan lebih manis berbanding menggunakan bunga-bungaan sebagai makanan,” jelasnya yang telahpun memperoleh hasil daripada penanaman pokok tin.

Memandangkan masih baru, hasil madu lebah kelulut milik Hafizan hanya dijual kepada kenalan dan penduduk kampung yang sering bertandang ke rumahnya.

“Biasanya, madu akan diambil sebulan sekali atau dua kali, bergantung kepada musim, tetapi saya memang tidak komersialkannya (penjualan madu) lagi kerana saya kena memastikan pengeluaran memenuhi permintaan,” ujarnya yang berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana terus memberi sokongan kepada golongan belia untuk menceburi bidang asas tani.

Terdahulu, pada 15 Februari lalu, seramai sembilan penerima menerima pinjaman melalui TUTM kali keempat.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin yang ditemui pada majlis penyampaian cek TUTM berkata, tujuan penubuhan tabung tersebut adalah bagi memberi bantuan pinjaman mikro kredit kepada usahawan tani muda berumur 40 tahun dan ke bawah.

“Tabung ini merupakan galakan kepada golongan muda khususnya, untuk menceburi bidang pertanian,  penternakan dan perikanan sebagai kerjaya yang berpotensi mendatangkan hasil yang lumayan.

“Malah, kita (Kerajaan Negeri) juga dalam usaha untuk menambahkan jumlah bantuan pinjaman daripada  RM5,000 kepada RM10,000, RM15,000 dan RM20,000.

“Peningkatan jumlah bantuan ini adalah bagi membantu usahawan muda mengembangkan perusahaan mereka di samping meningkatkan lagi sumber pendapatan mereka dan juga dapat meningkatkan KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) Pulau Pinang,” ujarnya pada majlis berkaitan.