Pisau menoreh semai prinsip tak makan gaji Abdullah

ABDULLAH Ismail menggunakan mesin mengetuk besi untuk membentuk sabit.
ABDULLAH Ismail menggunakan mesin mengetuk besi untuk membentuk sabit.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

KEJAYAAN menghasilkan pisau menoreh pada usia 19 tahun mendorong Abdullah Ismail, 49, untuk terus berkecimpung di dalam bidang perusahaan besi yang jarang sekali diusahakan golongan Bumiputera.

 

Malah, kemahiran yang diasah sedikit demi sedikit akhirnya membuahkan hasil apabila beliau muncul sebagai pembekal tunggal produk-produk barangan pertanian berasaskan besi di Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara kini.

 

Selain pisau menoreh, turut dihasilkan beliau yang kini telah dikurniakan 13 cucu adalah 17 jenis pisau untuk lain-lain kegunaan seperti memotong sayur, daging dan rumput.

 

Turut dihasilkan adalah produk unik dan memperoleh permintaan tinggi, kacip pinang.

 

SEBILAH pisau yang baru siap  dibakar.
SEBILAH pisau yang baru siap dibakar.

“Walaupun di zaman moden, kacip pinang masih mempunyai pasaran tinggi.

 

“Secara purata, sebanyak 30 kacip pinang dijual setiap hari. Setiap tempahan diterima adalah berjumlah 300 hingga 400 kacip,’’ katanya ketika ditemui di bengkel yang juga kediaman beliau di Kampung Air Melintang Kecil, Tasek Gelugor baru-baru ini.

 

Memiliki sebuah premis di Kompleks Dato’ Kailan, Kepala Batas sejak sembilan tahun lalu, produk yang dijual adalah dihasilkan oleh Abdullah sendiri.

 

“Tidak bahaya, tak pernah cedera. Cuma panas sahaja,’’ jawab Abdullah ringkas ketika ditanya mengenai aspek keselamatan bidang diceburi.

 

Malah, beliau turut memaklumkan bahawa  bidang pertukangan besi lazimnya tiada persaingan dan memang tidak menang tangan memenuhi permintaan sedia ada.

 

Ketika diminta bercerita mengenai pembabitan awalnya, Abdullah menyatakan bahawa ia adalah ekoran minat beliau menghasilkan produk pisau sejak kecil.

 

“Sejak kecil, menang saya minat benda-benda pertanian dan sering terfikir macam mana ia terbentuk.

 

“Lepas sekolah, saya kerja dengan bapa saudara. Dia buat pisau potong getah, saya tengok dia buat dan lama-lama jadi pandai dengan sendiri,’’ jelasnya.

 

KACIP pinang yang telah siap dibentuk.
KACIP pinang yang telah siap dibentuk.

b

Mengulas lanjut, Abdullah memberitahu, pada usia 21 tahun, beliau mengambil inisiatif menghasilkan peralatan-peralatan terbabit dan tanpa dijangka, beliau berjaya pada cubaan sulung.

 

“Ini (kejayaan) membuat saya tak nak buat kerja lain, nak asyik buat kerja ni saja, tak nak makan gaji!’’ tegasnya berpegang kepada pendirian beliau.

 

Sebelum mempunyai modal mencukupi untuk membuka premis milik sendiri, Abdullah menjual peralatan-peralatan yang dihasilkan di pasar-pasar malam sekitar sini.

 

Atas sifat rajin dan sabar beliau, Abdullah kini agak berpuas hati dengan pencapaiannya kini.

 

Berkongsi dengan Buletin Mutiara mengenai proses pembentukan sesebuah produk, Abdullah memberitahu bahawa daripada besi mentah yang diperoleh dari kedai besi, ia kemudian diketuk mengikut bentuk yang diperlukan.

 

“Proses pembakaran akan melembutkan besi yang ingin dibentuk dan setelah siap dibentuk, pisau akan diasah menjadi tajam,’’ katanya yang mana pasaran produknya kini turut memasuki negeri Kedah, Perak dan Perlis.

 

Beliau menambah, terdapat dua jenis besi di pasaran iaitu besi baja dan besi biasa.

 

“Besi biasa adalah lebih liat bila dibentuk dan tak tajam. Orang biasa memang tidak tahu membezakan dua-dua ini,’’ ujarnya.

 

Sedang asyik skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara memerhatikan percikan api yang dihasilkan hasil proses pembakaran besi, Abdullah menyatakan bahawa perancangan masa depan beliau adalah untuk menambah jumlah mesin mengetuk besi sedia ada.

 

“Kos mesin ketuk besi adalah RM17,000 sebuah, jika ada satu lagi, produk lebih dapat dihasilkan, itu matlamat saya,’’ ujarnya sambil tersenyum.

SEBILAH pisau yang baru siap  dibakar.
SEBILAH pisau yang baru siap dibakar.

 

INFO :

016 – 417 5776