PKS bantu sumbang sektor pembuatan & perkhidmatan negeri

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN THING

GEORGE TOWN – Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan penyumbang utama kepada industri pembuatan selain menjadi tulang belakang ekonomi negeri Pulau Pinang, ucap Ketua Menteri pada Majlis Makan Malam Ke-45 Persekutuan Pengilang- Pengilang Malaysia (FMM) di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, negeri kini mempunyai 337 syarikat anggota yang mana 72 peratus daripadanya adalah terdiri daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Tidak dinafikan PKS membantu menyumbang dengan ketara terhadap pertumbuhan sektor pembuatan dan perkhidmatan negeri ini.

“Jika dibina dan diuruskan dengan betul, PKS mampu menghasilkan nilai tambah besar bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan,” ujarnya.

Hadir sama, Presiden FMM, Datuk Saw Choo Boon dan Pengerusi FMM Cawangan Pulau Pinang, Datuk Khoo Cheok Sin.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri secara agresifnya menggalakkan pembangunan pertumbuhan PKS di Pulau Pinang dengan menubuhkan strategi serampang tiga.

“Pertama, penubuhan Penasihat Pasaran, Latihan dan Sumber PKS (SMART) adalah inisiatif bagi menyediakan maklumat pasaran bebas kepada syarikat-syarikat tempatan dan usahawan.

“Membina Pusat PKS Pulau Pinang bernilai RM40 juta dengan keluasan 160,000 kaki persegi sebagai pemupukan langkah permulaan untuk PKS baru bergerak di atas rantaian nilai serta mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

“Ketiga, membina Perkampungan PKS di Batu Kawan bagi membentuk rangkaian Perbadanan Multinasional (MNC-PKS) yang mana PKS boleh membeli tanah untuk membina kilang-kilang dalam membentuk satu kumpulan rantaian bekalan di lokasi tersebut kelak,” jelas beliau.