PMC diharap tumpu perluas khidmat kesihatan awam

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Pusat Kemahiran dan Pendidikan Klinikal Kolej Perubatan Pulau Pinang (PMC) yang dibuka dekat Seberang Jaya di sini baru-baru ini diharap dapat menumpukan pada khidmat penjagaan kesihatan di hospital awam serta mengembangkan potensi industri pelancongan perubatan negeri sedia ada.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, rekod kecemerlangan dua universiti terkemuka dunia, Royal College of Surgeons in Ireland (RCSI) dan University College Dublin (UCD) yang kini secara bersama memiliki PMC mampu merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri tersebut.

“Kita mempunyai hari yang sangat baik pada masa hadapan, bukan hanya untuk perkhidmatan kesihatan awam, bahkan, juga untuk PMC.

“(Pembukaan pusat) ini akan mereputasikan mutu penjagaan kesihatan di negeri serta negara ini (agar) lebih berkualiti dan memajukan potensi industri pelancongan perubatan di Pulau Pinang,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pembukaan PMC Clinical Skills & Education Centre di sini baru-baru ini.

Difahamkan, statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan hasil pelancongan perubatan negara pada tahun 2013 adalah berjumlah RM690 juta, berbanding RM574 juta, dengan kiraan 16 peratus bagi tahun sebelumnya.

Seramai 770,134 pesakit dari seluruh dunia mendapatkan rawatan hospital di Malaysia pada tahun 2013, berbanding 671,727 (2012). Di Pulau Pinang, jumlah pelancong kesihatan pada tahun 2013 meningkat kepada 351,673 pesakit, berbanding tahun sebelumnya, 297,850.

Justeru, Guan Eng berkata, peranan dimainkan PMC-RCSI-UCD adalah sangat penting memandangkan institusi berkenaan di negeri ini memenuhi piawaian digariskan Irish Medical Council serta diiktiraf beberapa badan pendidikan antarabangsa lain.

Maka, beliau memberitahu, Kerajaan Negeri berharap PMC, RCSI dan UCD dapat menjalinkan kerjasama lebih erat dengan hospital awam, khususnya Hospital Seberang Jaya.

“Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar PMC, RCSI, UCD dan Hospital Seberang Jaya terus menjalinkan hubungan erat bukan sahaja untuk rakyat di Pulau Pinang, malah untuk penuntut dari seluruh pelusuk dunia,” jelasnya yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut memuji PMC, RCSI dan UCD yang buat julung kalinya menawarkan biasiswa berjumlah RM2 juta kepada warganegara layak melanjutkan pengajian ke institusi tersebut, bagi kemasukan bulan September tahun ini.

Sebelum itu, Ketua Pengarah Eksekutif merangkap Dekan PMC, Prof. Amir Khir, Prof. Hannah McGee (Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan RCSI), Prof. Des Fitzgerald (Naib Canselor Penyelidikan merangkap Pengarah Kolej Sains Kesihatan UCD) dan Datuk Dr. Zailan Adnan (Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri) turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin. Sehingga kini, lebih 1,200 graduan dilahirkan melalui PMC bersama-sama institusi RCSI dan UCD.

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang, merupakan salah seorang anak Malaysia lepasan RCSI yang berjaya dalam kerjaya sebagai doktor gigi serta ahli politik negara