Pohon sumbangan bantu OKU

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar: ALISSALA THIAN

DATUK KERAMAT – Persatuan Tongkat Putih, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan setahun lalu, bergiat aktif membantu golongan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan.

Namun, menurut Pengerusinya, Swaran Singh, persatuan yang bergerak menggunakan dana persendirian itu kini memerlukan dana tambahan bukan sahaja untuk membiayai kos pengoperasian, tetapi juga bekalan makanan.

“Kami memohon orang ramai untuk menyalurkan sumbangan bagi membolehkan kami terus membantu golongan OKU ini,” katanya pada Majlis Amal Projek Bank Makanan yang diadakan di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Abdul Malik ketika berucap berkata, konsep bank makanan bukan sahaja dapat menggalakkan syarikat-syarikat perniagaan supaya menyertainya, malah juga mampu memupuk kesedaran untuk terus membantu golongan memerlukan.

“Inisiatif ini sebenarnya telah dimulakan di negara-negara seperti Amerika Syarikat, New Zealand serta Australia serta di Malaysia ia merupakan sesuatu yang baru serta amat positif dalam usaha membantu golongan OKU serta mereka memerlukan,” katanya yang mengharap agar projek tersebut dapat diteruskan bukan sahaja membantu golongan OKU, tetapi juga anak-anak yatim, orang- orang tua, miskin dan fakir.

Pada majlis berkenaan, Abdul Malik turut meluangkan masa selama sejam menyampaikan sumbangan makanan dan sumbangan Pusat Urus Zakat (PUZ) kepada mereka terpilih.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, hubungi talian 04 – 226 1699 atau Swaran Singh, 016 – 488 7811.