Pokok ‘angkat’ dedah ilmu asas pulihara alam sekitar

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

G a m b a r : MA RK JAMES

GEORGE TOWN – Sebagai galakan dan bagi melahirkan rasa kepekaan golongan muda terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar, tiga pihak termasuk sebuah kolej turut serta menganjurkan Kempen Kesedaran Alam Sekitar di sini baru-baru ini.

Antara yang terlibat adalah Penang Green Council (PGC), pelajar tahun tiga jurusan Komunikasi dan Pengajian Media, Kolej Han Chiang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Malaysian Nature Society (MNS).

Eksekutif Penganjur, Dr. Chow Yong Neng berkata, penganjuran tersebut merupakan pendekatan baru bagi menggalakkan para pelajar berhubung usaha berkaitan.

“Bertemakan, Memupuk Alam: Untuk Persekitaran Hijau, bagi mendapatkan sepohon pokok sebagai pokok ‘angkat’, para peserta perlu menyerahkan dua botol botol mineral kosong.

“Selain itu, turut diadakan adalah pertandingan mereka cipta bahan-bahan terbuang dan pungutan derma untuk MNS yang juga salah sebuah NGO alam sekitar tertua di Malaysia.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin dan Penasihat MNS, K. Kumar.

Dalam pada itu, Kumar memberitahu bahawa masyarakat kini perlu ‘mengingati’ lima “R” dan bukan lagi tiga (”R”).

“Selain tiga ‘R’ iaitu Reuse (guna semula), Reduce (kurangkan) dan Recycle (kitar semula), tambahan dua yang lain adalah Reject (tolak) dan Repair (baiki),” jelas beliau.