PPR Desa Wawasan sertai Projek Penyertaan Rakyat

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ADUN

PADANG LALANG – Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berharap Program Penyertaan Rakyat yang dibawa Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) ke PPR Desa Wawasan dekat kawasan Parlimen Bukit Mertajam akan memperkasakan lagi komuniti setempat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Suai-Mesra dan Sesi Perbincangan Projek Penyertaan Rakyat di sini baru-baru ini.

“Pada hari ini, kita sedang menjalankan satu program yang dinamakan Projek Penyertaan Rakyat.

“Ia adalah merupakan salah satu langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan suara dan penyertaan daripada berbagai-bagai kumpulan masyarakat, termasuk golongan wanita dan lelaki, belia, remaja dan kanakkanak dalam proses membuat sesuatu keputusan dana awam Kerajaan Negeri,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang pada majlis berkaitan.

Chong Eng memberitahu, beliau bangga kerana Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Wawasan dipilih daripada 13 PPR di negeri ini sebagai lokasi Projek Penyertaan Rakyat berkaitan.

“Saya harap semua penduduk menghargai kelebihan yang diberikan kepada anda.

“Saya percaya dengan pelaksanaan projek ini di PPR Desa Wawasan, ia akan memberikan manfaat dan impak positif kepada semua penduduk di sini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Chong Eng memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini akan terus menyokong dan bekerja keras untuk membolehkan komuniti, khususnya golongan wanita dan juga lelaki memperbaiki taraf hidup masing-masing, selain turut menyumbang kepada pembangunan negeri ini.

Bercakap pada majlis sama, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo turut berharap Projek Penyertaan Rakyat tersebut dapat mendorong penduduk PPR Desa Wawasan menyelesaikan tunggakan bayaran sewa yang kian meningkat.

Menurut rekod Kerajaan Negeri, katanya, bayaran tertunggak di sini sehingga bulan April 2017 adalah lebih RM1.7 juta.

“Sekiranya anda menunaikan tanggungjawab anda untuk membayar sewa bulanan, ia akan memberi manfaat kepada anda dan keluarga anda, termasuk semua penduduk di sini, kerana wang tersebut akan digunakan untuk menjalankan pelbagai projek dan program untuk anda di Desa Wawasan,” serunya yang juga ADUN Datuk Keramat.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong antara pemimpin yang menyertai karnival dan projek komuniti berkenaan.