PPSN, harap rapat jurang sosio-ekonomi utara dan selatan Pulau Pinang

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BAYAN LEPAS – Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) bukan sahaja berperanan sebagai pusat sehenti atau ‘onestop centre’ melibatkan penduduk tempatan secara langsung, malah turut berperanan sebagai pusat informasi bagi Projek Tebus Guna Penang South Reclaimation (PSR).

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, PPSN adalah inisiatif Kerajaan Negeri bagi memberi penerangan lebih lanjut berhubung pelaksanaan projek berkaitan dan pada masa sama bertujuan membantu penduduk tempatan menaikkan taraf hidup masing-masing.

“PPSN adalah pusat penglibatan penduduk tempatan selain membantu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan memakmurkan keusahawanan untuk meningkatkan pendapatan mereka di sini.

“(Dan) diharapkan inisiatif murni Kerajaan Negeri ini akan merapatkan jurang sosio-ekonomi antara bahagian utara dan selatan Pulau Pinang termasuk mencapai pertumbuhan inklusif demi generasi akan datang,” ucapnya dengan membacakan teks ucapan Ketua Menteri pada Majlis Perasmian PPSN di Gertak Sanggul di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan perasmian PPSN Gertak Sanggul, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon.

Turut sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Pegawai Daerah, Daerah Barat Daya, Ederis Mat Din serta wakil daripada rakan pelaksana projek, SRS Consortium Sdn. Bhd..

Difahamkan PPSN Gertak Sanggul merupakan PPSN kedua yang dibangunkan selepas PPSN Permatang Damar Laut dekat Batu Maung yang siap pada Mei 2016. Menurut Kon Yeow, Projek Tebus Guna PSR merupakan satu pelan pembangunan transformatif strategik oleh Kerajaan Negeri dalam membangunkan sebuah ‘Bandar Pintar’ di selatan Pulau Pinang.

“Ia (PSR) akan menjadi hab baharu bagi perindustrian, perniagaan dan kediaman di samping mengekalkan keindahan serta keunikan alam sekitar di kawasan terlibat.

“Pembangunan PSR ini juga akan mentransformasikan Pulau Pinang sebagai negeri moden, pintar, berpendapatan tinggi
dengan kualiti hidup yang lebih baik,” jelasnya yang yakin dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyediakan masa hadapan yang lebih baik untuk penduduknya.

Sebagai rekod, sejak dibuka kepada umum, PPSN Permatang Damar Laut telah menerima 506 permohonan pekerjaan, 542 maklum balas daripada penduduk tempatan khususnya nelayan dan telah dikunjungi oleh 2,200 pengunjung.