PR1MA, “Satu pun tak ada di Pulau Pinang” – Exco

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo merakamkan rasa kecewa apabila sekali lagi Pulau Pinang ‘dianaktirikan’ dalam pembekalan rumah di bawah Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Beliau yang merujuk kepada sebuah artikel berbahasa Inggeris bertajuk, ‘119,933 PR1MA units approved for construction so far, says CEO‘ dalam akhbar The Star, bertarikh 4 Mac 2015 menyatakan bahawa, sekali lagi Pulau Pinang diketepikan apabila Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias mengumumkan pembinaan 119,933 unit rumah PR1MA melibatkan 80 buah projek seluruh negara tanpa menyenaraikan Pulau Pinang.

“Senarai tersebut juga termasuk tujuh projek perumahan baru membabitkan pembinaan 7,116 unit rumah di Kuala Lumpur, Perak, Kedah, Johor dan Melaka.

“Satu pun tak ada di Pulau Pinang,” tegasnya dalam sidang media yang mendesak supaya menjelaskan situasi sebenar pembinaan PR1MA di negeri ini baru-baru ini.

Jagdeep memberitahu, sehingga kini Kerajaan Negeri masih tertanya-tanya lokas i P R1MA di Pulau Pinang walaupun banyak pengumuman telah dibuat sejak Akta PR1MA 2012 diperkenalkan tiga tahun lalu.

“Saya harap ianya bukan berkaitan politik memandangkan Pulau Pinang di bawah Pakatan Rakyat (PR).

“Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, pembekalan perumahan mampu milik terletak di bawah tanggungjawab Pusat, walaupun kita (Pulau Pinang) merupakan negeri kedua terkecil, tetapi kita (Pulau Pinang) juga penyumbang ketiga kutipan cukai terbanyak di Malaysia,” jelas beliau.

Terdahulu, Jagdeep turut menyuarakan kekecewaannya terhadap PR1MA yang dilihat seakan-akan melepaskan tanggungjawab menyediakan perumahan mampu milik untuk rakyat Pulau Pinang.

Oleh demikian, Kerajaan Negeri, menurutnya akan terus komited menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat Pulau Pinang dari masa ke masa di bawah 12 projek di lima daerah yang dikenalpasti untuk pembinaan 22,545 unit rumah mampu milik.

“Bukan kita sahaja yang menyediakan rumah mampu milik, tetapi pihak pemaju swasta juga mengambil inisiatif menyahut seruan Kerajaan Negeri bagi pembekalan rumah mampu milik di Pulau Pinang.

“Satakat ini, 9,858 unit rumah mampu milik daripada pihak pemaju swasta menunggu kelulusan pembinaan.

“Tidak sampai tiga bulan kita (Kerajaan Negeri) mengumumkan inisiatif ini (pembinaan rumah mampu milik), pihak swasta kemukakan pelan projek, tetapi PR1MA…amat menyedihkan,” katanya sejurus selepas selesai majlis penyerahan 200 hamper kepada golongan memerlukan sempena sambutan Tahun Baru Cina di sini baru-baru ini.

Tambah Jagdeep, sejumlah 4,545 unit rumah mampu milik hasil inisiatif khas Kerajaan Negeri akan siap menjelang 2018 dan jumlah tersebut tidak termasuk penyediaan rumah mampu milik oleh pihak swasta dalam tempoh yang sama.

“Dalam erti kata lain, kira-kira 9,000 unit rumah mampu milik akan siap menjelang 2018 untuk rakyat Pulau Pinang yang layak.

“Jumlah tersebut juga tidak termasuk rancangan pembinaan 18,000 unit yang akan dibina melalui perkongsian dengan pihak pemaju swasta dan 20,079 rumah kos rendah dan kos sederhana yang telah dibina sejak tahun 2008,” kata Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);