Praktik amalan pengasingan sisa di punca demi pulihara alam sekitar, seru Exc

Admin

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menyeru masyarakat agar mempraktikkan amalan pengasingan sisa di punca dalam kehidupan seharian sebagai langkah untuk menjaga alam sekitar.

Katanya, bermula tahun lepas, Kerajaan Negeri bertindak mewartakan amalan pengasingan sisa di punca sebagai sebahagian daripada undang-undang kecil di kawasan kediaman.

“Jika ada mana-mana pihak gagal melaksanakan undang-undang ini, mereka akan berdepan tindakan saman.

“Ini mencerminkan keseriusan Kerajaan Negeri terhadap program ini (Dasar Pengasingan Sisa Di Punca) dan kesungguhan itu telahpun menampakkan hasil.

“Tapi kita masih jauh ketinggalan dalam program ini dengan catatan rekod 30 peratus (kadar kitar semula) berbanding peratusan keseluruhan negara iaitu 20 – 22 peratus,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Program Pengasingan Sisa Di Punca Taman Free School di sini baru-baru ini.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat dalam pada itu turut menggesa masyarakat setempat serta seluruh rakyat Pulau Pinang agar tidak membuang sampah di tempat tidak sepatutnya.

“Sebagai ADUN kawasan ini, saya ingin berpesan kepada semua agar tidak membuang sampah sesuka hati kerana ia membawa kesan buruk seperti banjir kilat.

“Pesanan ini juga ditujukan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang agar mengamalkan gaya hidup yang baik seperti mengitar semula barang buangan demi melindungi alam sekitar,” serunya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Ar. Yew Tung Seang yang turut hadir pada pelancaran majlis itu menyatakan bahawa MBPP menyasarkan kadar kitar semula sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2020.

“Kadar kitar semula di pulau pada tahun 2017 adalah 29.68 peratus bersamaan dengan 100,123 tan sisa kitar semula yang mana dapat menjimatkan RM2.23 juta.

“Untuk makluman kita semua, sebanyak 40 peratus sisa yang dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah di Pulau Burong adalah sampah organik, manakala baki 60 peratus (202,418 tan) adalah sampah am bukan organik yang boleh dikitar semula.

“Kadar kitar semula di negara ini jauh ketinggalan berbanding negara maju seperti Jerman, Austria, Taiwan dan Singapura,” jelasnya.