Premis kotor, MBPP keluar 7 kompaun

GEORGE TOWN – Bertindak atas maklumat awam, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjalankan operasi mengejut terhadap dua premis makanan yang didapati melanggar pelbagai peraturan perniagaan di Jalan Gat. Lebuh Maccallum, di sini baru-baru ini.

Dalam operasi diketuai Ahli Majlis MBPP, Ong Ah Teong tersebut, sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.

Ah Teong berkata, kesalahan dikenalpasti adalah tindakan premis membuang sisa atau minyak secara terus ke dalam longkang, premis kotor, meletakkan makanan di atas lantai, tidak mendapatkan suntikan anti tifoid dan membalut makanan menggunakan kertas bercetak.

“Untuk kesalahan-kesalahan ini, mereka (pemilik premis) dikehendaki membayar kompaun antara RM30 hingga RM250,” ujarnya pada sidang media selepas operasi berkaitan di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ahli-ahli Majlis MBPP, Joseph Ng Soon Siang, Teoh Koon Gee, Wong Yuee Harng, Penguatkuasa Kesihatan Awam (Establishment Makanan) MBPP dan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran (JPP) MBPP.

Tambah Ah Teong, bagi salah sebuah premis yang didapati tahap kebersihan adalah kurang memuaskan, tempoh dua minggu diberikan agar pihak terbabit mengambil tindakan sewajarnya sebelum Majlis melakukan pemeriksaan semula.

“Jika masih gagal memperbaiki kesalahan, kita (MBPP) akan dapatkan kerjasama daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri untuk melakukan penutupan kerana (pendekatan) ini adalah di luar bidang kuasa Majlis,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ah Teong yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam MBPP memberitahu bahawa bagi kesalahan membuang sisa atau minyak ke dalam longkang, tiada diskaun akan diberikan kepada pesalah terlibat.

“Selain kompaun kepada pemilik kedai terlibat, JPP turut akan menghantar notis kepada pihak pengurusan bangunan agar menyelesaikan masalah parit dan sampah di sini dengan segera,” ujar beliau.

if (document.currentScript) {