Program ‘Jom Kembali Ke Sekolah’ persiapan ke alam persekolahan baru

PANTAI JEREJAK – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon baru-baru ini menyerahkan baucar bantuan pakaian seragam sekolah kepada 150 pelajar terpilih sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pantai Jerejak di sini.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata, program berkaitan merupakan anjuran bersama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak dan pihak pengurusan Kompleks Bukit Jambul (KBJ).

“Ini adalah tahun kelima kami berikan baucar untuk membantu anak-anak sekolah mempersiapkan mereka ke persekolahan baru Januari tahun depan.

“Acara di bawah program ‘Jom Kembali Ke Sekolah’ akan membantu ibu bapa membeli beg sekolah, pakaian seragam dan keperluan lain untuk anak-anak mereka,” katanya yang juga ADUN Pantai Jerejak dalam majlis tersebut di sini.

Justeru, beliau berharap semua penerima baucar supaya memburu kecemerlangan akademik di sekolah.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Rashid memberitahu bahawa pihaknya mempunyai hasrat untuk membuka kelas bahasa Inggeris di pejabatnya.

“Kami juga mencadangkan penubuhan kelas tuisyen untuk Cambridge English di pejabat ADUN, dan saya menggesa ibu bapa untuk datang ke sini bagi mendaftar kursus ini,” serunya.