Program pembangunan modal insan Zakat Pulau Pinang

Admin

Oleh: KHAIROL AZHAR ZULKIFLI
Ketua Bahagian Perhubungan Korporat Promosi, Zakat Pulau Pinang.

PEMBANGUNAN modal insan yang berkualiti sangat penting bagi menangani kemiskinan, dan membentuk masyarakat Islam yang berkualiti. Tanpa pendidikan tidak mungkin manusia boleh membina tamadun. Malahan dalam konteks dunia masa kini, tanpa pendidikan atau ilmu, manusia akan tenggelam hanyut dalam kepesatan arus kemajuan dunia yang semakin deras. Kita semua mahu mencorak anak-anak kita dengan corak yang baik dan mahu anak-anak menjadi seorang manusia Muslim yang berkualiti. Muslim yang bukan sahaja hebat dengan ilmu-ilmu dunia tetapi di masa yang sama turut cemerlang dengan ilmu-ilmu akhirat yang bersumberkan Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Inilah generasi keturunan yang mahu kita tinggalkan di dunia ini selepas kita tiada nanti.

Saban tahun, Zakat Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang sentiasa meningkatkan usaha bagi melaksanakan amanah memenuhi segala keperluan asnaf di Pulau Pinang. Alhamdulillah, dengan sokongan para pembayar zakat yang setia menunaikan zakat di Zakat Pulau Pinang, usaha penyampaian agihan zakat terus diperkasa serta dimantapkan demi membela para asnaf. Kutipan zakat tahunan yang sentiasa bertambah telah membolehkan Zakat Pulau Pinang memenuhi keperluan asnaf yang lebih ramai lagi, dengan nilai bantuan yang lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini dan kami di Zakat Pulau Pinang terus mempertingkatkan lagi usaha pelaksanaan agihan agar lebih diyakini masyarakat.

Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad, “Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah, jika dia tidak dapat berbuat demikian, maka hendaklah dia berusaha sendiri (bekerja) yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan yang demikian dia dapat bersedekah.”

Kita juga disarankan untuk turut sama-sama berusaha untuk meningkatkan pendapatan ekonomi diri dan keluarga. Semoga kita mampu keluar daripada kesulitan yang dirasai pada hari ini kepada kehidupan yang lebih berkualiti pada masa akan datang, seterusnya menjadi seorang pembayar zakat yang menyumbang dan mengukir senyuman di wajah para asnaf pula.

Firman Allah: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, sehinggalah mereka sendiri yang berusaha mengubah apa yang ada pada diri mereka.” (Ar-Raa’du: 11)

Untuk makluman pembaca, Alhamdulillah sepanjang tahun 2013, Zakat Pulau Pinang telah mengagihkan sebanyak RM 14.1 juta untuk Pendidikan Asnaf di Pulau Pinang dengan bilangan penerima seramai 8,371 orang. Untuk pendidikan persekolahan Zakat Pulau Pinang telah mengagihkan sebanyak RM 1.8 juta manakala sebanyak RM3.5 juta daripadanya untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke IPT dalam dan luar negara. Diantara program agihan zakat yang berjaya membantu para pelajar di Pulau Pinang adalah seperti Mutiara PDCA untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, bantuan pendidikan IPT Dalam dan Luar Negara, bantuan permulaan Ke IPT dalam dan luar negara, bantuan awal persekolahan, bantuan pakaian seragam sekolah, biasiswa pelajar Sekolah Menengah Agama Islam (SMAI), pengurusan Kompleks Inapan Kasih Sayang (IKS), pembiayaan pelajar tahfiz di Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB), Kem Bina Sahsiah Smart Caliph Camps, prepclass dan lain- lain lagi.

Zakat Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada para pembayar zakat atas kepercayaan yang telah diberikan selama ini. Teruskanlah bersama Zakat Pulau Pinang membela asnaf yang memerlukan. Zakat dibayar asnaf terbela.