Program pertukaran belia cipta sejarah MPSP

SEBERANG JAYA– Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan program secara bersama dengan delegasi antarabangsa dari Bandar Metropolitan Gwangju, Republik Korea di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua MPSP, Datuk Maimunah Mohd. Sharif berkata, beliau berharap program pertukaran belia tersebut dapat mengerat lagi hubungan persahabatan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) di kedua- dua bandar, Seberang Perai dan Gwangju pada masa depan.

“Program persahabatan ini juga sebenarnya membuka peluang kepada semua delegasi dari Bandar Metropolitan Gwangju, Republik Korea untuk menimba pengalaman serta mengenali dengan lebih dekat MPSP sebagai PBT, kebudayaan Malaysia (serta) cara hidup komuniti tempatan.

“Kalau ada peluang dan sumber, mungkin selepas ini pelajar dan delegasi kita pula ke Gwangju,” ujarnya pada Majlis Penutupan Program Pertukaran Belia Antara Bandar Metropolitan Gwangju, Republik Korea dan Seberang Perai di Auditorium Kompleks Ibu Pejabat MPSP, Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Ketua Delegasi merangkap Pegawai Polisi Wanita, Belia dan Masyarakat bagi Bandar Metropolitan Gwangju, Kang YoungSook dan Dr. Gang ByoungYeon (Pengarah Eksekutif Pusat Hak Asasi Belia Korea) turut berucap pada majlis terbabit.

Pengarah Urusan Pusat Hak Asasi Belia Korea, HwangSuju dan PaekAekYoung (penterjemah), serta 30 mahasiswa Korea turut hadir pada majlis itu.

Hadir sama, Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud, Pengetua Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin (SMS TSSS), Jamaluddin Yaakob dan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) True Light, serta para pelajar masing-masing.

Difahamkan, semua delegasi program tersebut dirai bermalam di asrama SMS TSSS dalam tempoh tiga hari.

Sepanjang waktu itu, delegasi didedahkan mengenai amalan hijau hingga melayakkan SMS TSSS selama dua tahun berturut-turut menjuarai Program Sekolah Hijau, anjuran MPSP sendiri.

Delegasi turut diraikan dalam satu aktiviti pertandingan Fesyen Hijau, anjuran Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) True Light.

“MPSP sendiri turut mempromosi konsep 4R, iaitu amalan Rethink, Reduce, Reuse dan Recycle di sekolah-sekolah sekitar Seberang Perai serta aktiviti-aktiviti kehijauan yang giat kita anjurkan bersama- sama badan korporat, komuniti dan pelanggan kita,” ujar Maimunah.

Tidak cukup dengan itu, katanya, delegasi turut dibawa melawat kawasan-kawasan menarik sekitar Seberang Perai serta George Town yang merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Justeru, Maimunah memberitahu, program pertukaran belia berkenaan bolehlah dianggap sebagai ‘majlis balas’ kunjungan beliau ke beberapa program rasmi di Gwangju sejak tahun 2011.