Program Satu Pasu, Satu Kedai bakal diperluaskan

Teks dan Gambar : SYARAFANA ALI ASGAR

GEORGE TOWN – Program Satu Pasu, Satu Kedai yang diusahakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng bersama-sama para peniaga sekitar Lebuh Carnovan di sini bakal diperluaskan pada masa akan datang.

Lai Heng memberitahu, pada April 2015, sejumlah 60 anak pokok Puding Emas atau nama saintifiknya, acalypha indica linn diserahkan kepada para peniaga terpilih di sekitar sini untuk dipelihara.

“Inisiatif penanaman pokok melalui Program Satu Pasu, Satu Kedai ini adalah selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk mewujudkan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar hijau.

“Hari ini, saya amat bangga melihat anak-anak pokok ini tumbuh dengan sihat dan sempurna hasil jagaan peniagapeniaga terpilih,” ujarnya ringkas ketika mengadakan lawatan ke sekitar Lebuh Carnovan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Sumber, Penyelidikan dan Pendidikan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Chuah Ai Kheng.

Di atas kejayaan program tersebut, Lai Heng memberitahu bahawa beliau berhasrat untuk memperbanyakkan tumbuhan hijau di kawasan berkaitan dengan mempelbagaikan jenis tumbuh-tumbuhan.

“Dengan kerjasama kedai-kedai di sini, sejumlah 20 jenis tumbuh-tumbuhan baru akan ditanam kelak,” ujar beliau.