Projek ‘Duit Kita, Hak Kita’, ADUN pohon partisipasi penduduk

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon menyeru agar penduduk setempat dapat memberi kerjasama kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) berhubung bancian projek ‘Duit Kita, Hak Kita’ di sini.

Khai Loon berkata, projek julung kali yang dijalankan dari rumah ke rumah tersebut adalah dilaksanakan secara bersama dengan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

“Kami masing-masing memperuntukkan sejumlah RM50,000 kepada JKKK supaya dapat menjalankan bancian di kawasan Machang Bubuk bagi mendapatkan maklum balas demi menentukan kegunaan peruntukan pembangunan di kawasan kediaman masing-masing pada masa depan.

“Bancian tersebut akan dikumpulkan berdasarkan tiga kategori iaitu wanita, warga emas dan kanak-kanak,” ujarnya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Machang Bubuk yang diadakan di perkarangan Masjid Tok Lebai Hashim di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman, ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin dan beberapa Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Mengulas lanjut mengenai projek berkenaan, Khai Loon memberitahu bahawa ia akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat setempat dan seterusnya menjadi model kepada negeri dan negara ini.

“Penduduk Machang Bubuk akan diberikan hak untuk menentukan projek dalam kawasan masing-masing. Hak menentukan projek ini adalah berdasarkan undi daripada penduduk dan bukannya bergantung kepada keputusan ADUN dan pengerusi JKKK seperti sebelum ini.

“Konsep demokrasi ini akan memberi ruang kepada komuniti untuk menentukan projek yang bermanfaat dan sekaligus dapat mengurangkan pembaziran wang rakyat kerana tiada lagi projek terbengkalai atau projek gajah putih kelak,” ujar beliau.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);