Projek mitigasi cegah banjir Taman Seri Setia dijadual April

TANJUNG BUNGAH – Kerajaan Negeri melalui beberapa agensi negeri dan Pusat kini dalam perancangan untuk melaksanakan beberapa projek mitigasi membabitkan kawasan Taman Seri Setia di sini sebagai langkah pencegahan banjir.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, projek yang dijadualkan bermula pada pertengahan April 2018 itu juga bakal merangkumi pembinaan jalan pintas menghubungkan saluran longkang di Jalan Lembah Permai ke titik pelepasan di Sungai Kelian.

“Kerja-kerja mitigasi ini dijangka mengambil masa kira-kira sebulan daripada tarikh ia dimulakan.

“(Dan) sebagai makluman, kawasan di sini bukan sahaja rendah, malah hasil siasatan oleh agensi berwajib mendedahkan bahawa terdapat point sempit atau bottle neck pada longkang dekat Jalan Lembah Permai di sini,” katanya ketika mengadakan lawatan bersama-sama Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) , Chris Lee Chun Kit baru-baru ini.

Turut sama, perwakilan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Seri Setia dan Perbadanan Pengurusan setempat.

Pada sidang media berkaitan, Zairil turut menzahirkan penghargaan kepada MBPP, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang yang turut terlibat dalam pelaksanaan projek mitigasi berkaitan.