Projek pembangunan semula rumah pangsa Lorong Mahsuri 10 ditangguh – Rashid

Admin

Teks & Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF

PANTAI JEREJAK – Lima blok rumah pangsa Lorong Mahsuri 10 yang merupakan projek perintis pertama di Pulau Pinang yang akan dibangunkan semula secara lebih tersusun ditangguhkan kepada tarikh yang bakal diumumkan kelak.

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon setelah perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Exco yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri baru-baru ini.

Mohd. Rashid berkata, terdapat beberapa isu yang masih perlu ditangani oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) selaku pemaju bertanggungjawab, terutamanya melibatkan unitunit individu di kelima-lima blok berkaitan.

“Kita (Kerajaan Negeri) telah melantik peguam PDC untuk menghubungi setiap pemilik rumah bagi mendapatkan kebenaran mereka untuk membangunkan semula kelima-lima blok ini secara lebih tersusun.

“Namun, sehingga kini, terdapat kira-kira 10 peratus daripada pemilik-pemilik rumah ini masih belum dapat dikenal pasti, walaupun rekod mereka ada pada PDC,” jelasnya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Mula Kerja Depoh Sampah & Kitar Semula dan Kenduri Rakyat di Mayang Pasir di sini baru-baru ini.

Pada majlis berkaitan, sebanyak tiga depoh kitar semula diwujudkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Mayang Pasir sebagai inisiatif mewujudkan kesedaran masyarakat setempat berhubung isu-isu kebersihan dan kitar semula.

Mengulas lanjut, Mohd. Rashid menyatakan bahawa pihaknya telah menjalankan dialog serta memaklumkan kepada penduduk di blok J dan K berhubung penangguhan tersebut.

“Dalam usaha mendapatkan data dan menghubungi baki 10 peratus pemilik-pemilik ini, pihak saya juga telah mengambil inisiatif mengadakan dialog bersama-sama penduduk.

MOHD. Rashid Hasnon (depan, kiri sekali) bersama salah seorang penduduk
menyempurnakan gimik Majlis Mula Kerja Depoh Sampah & Kitar Semula
dan Kenduri Rakyat di sini baru-baru ini.

“Dua blok berkenaan (J dan K) telah sedia maklum akan hal ini, dan baki tiga blok iaitu G,H dan L akan disusuli kemudian,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak