Projek tebatan banjir manfaat 3,000 keluarga

GEORGE TOWN – Fasa empat kerja-kerja tebatan banjir kilat di Jalan Transfer, Jalan Hutton dan kawasan sekitarnya yang sedang dilaksana kini menelan belanja RM5,868,396.50.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, projek tersebut diharap akan mengurangkan lagi risiko banjir kilat.

“Projek ini akan memberikan manfaat seperti mengurangkan risiko banjir kilat yang seringkali dihadapi oleh penduduk setempat, yang populasi mereka kira-kira 3,000 keluarga,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, semasa melawat kawasan pemajuan di sini baru-baru ini.

Difahamkan, projek di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tersebut kesemua terdiri oleh enam fasa, yang dimulakan pada 1 April lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada 24 Mei tahun depan.

Menurut Kon Yeow, kos pemajuan yang dilihat agak tinggi kerana turut melibatkan komponen roadworks, pengalihan utiliti serta perabot jalan.

“Untuk mengatasi masalah banjir kilat di Jalan Transfer, Jalan Hutton dan kawasan sekitarnya dengan meningkatkan keupayaan kadar alir parit sedia ada, berukuran 2.0 meter kepada saiz yang lebih besar, iaitu 3.6 meter hingga 4.8 meter, dan menjadikan parit sebagai tempat takungan air hujan semasa air pasang,” jelas Kon Yeow lagi.

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu bahawa Kerajaan Negeri meluluskan RM48 juta bagi tahun 2015 untuk kajian dan projek-projek tebatan banjir di seluruh negeri ini, sungguhpun terpaksa berbelanja lebih akibat daripada langkah Kerajaan Pusat melaksanakan enam peratus Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST).

Dari jumlah itu, beliau memberitahu, RM21 juta akan diperuntukkan untuk bahagian pulau, manakala, baki RM27 juta lagi untuk kawasan Seberang Perai.

“Saya sangat memahami bahawa sesetengah Kerajaan Negeri tidak mampu meneruskan projek pembangunan disebabkan mereka tidak mampu untuk membayar cukai GST, tetapi Pulau Pinang cuba melakukan sebaik mungkin,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Difahamkan, RM3.8 juta telahpun diperuntukan melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP, kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP) pada tahun 2013 untuk menaik taraf sistem perparitan di Jalan Burma, Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, Jalan Gottlieb dan Jalan Besi.

Manakala, sejumlah RM3.23 juta dibelanjakan pada tahun 2014 untuk projek serupa di Lebuhraya Pykett, Jalan Logan, Jalan Cantonment, Jalan Residensi, Jalan Macalister dan Gat. Lebuh Pasar.

Sehingga Mei tahun ini, Kerajaan Negeri meluluskan RM8.36 juta melibatkan dua projek, iaitu RM2.5 juta di Lorong Perak dan terbaru di Jalan Hutton dan Jalan Transfer ini dengan kos RM5.86 juta.

if (document.currentScript) {