Projek utiliti berjalan, sabar guna jalan permukaan kurang sempurna

Gambar: LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berharap para pengguna Jalan Perak ke Jalan Macalister (belakang Hospital Loh Guan Lye) dan sebahagian Jalan Anson supaya dapat bersabar ekoran permukaan jalan yang masih kurang sempurna membabitkan lokasi-lokasi berkaitan.

Menurutnya, kesulitan tersebut adalah berikutan kerja-kerja pemasangan paip dan kabel utiliti pihak-pihak seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Perunding YAA Sdn. Bhd. serta Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

“PBAPP sedang menggantikan paip-paip lama yang kecil kepada saiz paip lebih besar di sepanjang Jalan Macalister bermula dari Hospital Island hingga ke persimpangan Jalan Anson. Kerja-kerja pengorekan dan penurapan masih berjalan dan dijangka siap dalam tempoh terdekat.

“Bagi TNB, terdapat dua permohonan untuk penyambungan bekalan elektrik membabitkan Tetuan Red Rock Hotel Realty Sdn. Bhd. serta Tetuan Loh Eng Kim dan kerja ini telah siap dijalankan,” ujarnya selepas mengadakan lawatan ke lokasi-lokasi terlibat di sini barubaru ini.

Tambah Kon Yeow, Perunding YAA sedang menjalankan kerja-kerja penanaman dan penyambungan paip pembentung bagi cadangan mendirikan satu blok pangsapuri 22 tingkat (62 unit) dan kemudahan masyarakat di atas lot-lot 12 &13 untuk tetuan Red Rock Realty Sdn. Bhd.

“Serentak itu, Jabatan Kejuruteraan MPPP tidak terkecuali dengan menaiktaraf parit dan bahu jalan bermula dari persimpangan Jalan Perak hingga ke Jalan Anson.

“Oleh itu, secara keseluruhannya, kerja-kerja penurapan jalan secara penuh akan dijalankan dalam tempoh terdekat,” jelas beliau.

Kon Yeow dalam pada itu turut memaklumkan bahawa berdasarkan dasar sedia ada, apabila sesuatu jalan sudah diturap sempurna, syarikat utiliti tidak lagi dibenarkan melakukan kerja-kerja pengorekan dalam masa tempoh dua tahun.

Tambah beliau, kerja menaiktaraf longkang di jalan berkenaan sebagai inisiatif mengatasi masalah banjir adalah dengan meningkatkan keupayaan kadar alir longkang sedia ada berukuran 375 milimeter (mm) kepada 1500mm dan 1200mm ke 2100mm sepanjang 700 meter.

“Kos projek adalah sebanyak RM1.162 juta menerusi peruntukan Caruman Saliran Negeri Pulau Pinang yang kini telah 80 peratus siap dan sebarang kelewatan yang berlaku adalah bergantung kepada halangan utiliti berkaitan,” ujar Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.