Puas hati dengan produk sendiri dulu – prinsip kerja Faris

MOHD. Faris Ismail.
MOHD. Faris Ismail.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

 

ORANGNYA agak pemalu namun amat berkebolehan.

Walaupun tidak memiliki kemahiran dalam bidang pertukangan, Mohd. Faris Ismail, 38, mampu menghasilkan pelbagai perabot yang unik lagi cantik.

Berasaskan minat dan sedikit pengetahuan yang dipelajari daripada bapanya, Mohd. Faris atau lebih mesra dengan panggilan Faris berhenti kerja sebagai juruteknik di sebuah hotel bagi menumpukan sepenuh masa pada bidang berkenaan.

Tidak lama, hanya kira-kira setahun menceburi bidang tersebut, hasil kerjanya telah memperoleh permintaan daripada pengusaha-pengusaha kedai makan di sekitar pusat pelancongan, Batu Feringghi.

Istimewanya, perabot dihasilkan Faris yang berasal dari Kampung Teluk Awak, Teluk Bahang adalah tidak menggunakan walaupun sebatang paku.

“Kenapa tidak guna paku?

“Sebab, saya nak orang tahu yang perabot juga boleh buat tanpa paku. Semua sambungan bahagian-bahagian perabot adalah menerusi tanggam.

“Malah, kayu yang digunakan juga adalah solid wood iaitu kayu rambai, tenusu serta jering. Bukannya plywood dan kayu getah,’’ katanya kepada skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara (BM) pada sesi wawancara yang diadakan di bengkel beliau.

TANGGAM yang menyambungkan bahagian-bahagian perabot dihasilkan.
TANGGAM yang menyambungkan bahagian-bahagian perabot dihasilkan.

Sebelum bertemu Faris, skuad BM terpaksa meniti titi kayu menyeberangi sungai kecil yang memisahkan kediaman beliau dengan bengkelnya.

Di dalam sungai jernih itu, kelihatan anak-anak ikan yang begitu seronok berenang menentang arus air bukit yang mengalir turun.

Berkonsepkan open air, begitu seronok mata memandang kehijauan pokok-pokok hutan tumbuh liar, bukit dan tanaman-tanaman seperti tebu, pisang dan ubi kayu yang turut diusahakan Faris yang kini dikurniakan dua cahaya mata.

Menurut Faris, kraftangan pertama dihasilkan beliau ketika menceburi bidang pertukangan adalah sebilah pedang samurai.

“Saya tengok budak-budak main kayu, tiba-tiba timbul idea nak buat satu souvenir,’’ katanya yang tidak menafikan bahawa beliau turut merujuk kepada internet dan televisyen berhubung idea penghasilan produk.

SET kerusi dan meja yang telah siap.
SET kerusi dan meja yang telah siap.

 

Mengulas lanjut, Faris memberitahu bahawa disebabkan modal tinggi dalam mendapatkan peralatan pertukangan, kebanyakan produk yang dihasilkan masih menggunakan tangan iaitu secara manual.

“Wang dan modal adalah cabaran utama kerana saya tidak minta bantuan.

“Peralatan kena beli sendiri bergantung kepada tempahan dan bayaran pelanggan dari semasa ke semasa,’’ ujarnya yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik.

Ketika ditanya mengenai produk paling sukar dihasilkan, Faris yang kini dibantu dua rakan menyatakan bahawa ia adalah perabot kerusi dan meja.   “Kedua-dua produk ini memerlukan ketelitian.

“Apabila saya buat, saya buat betul-betul. Kalau sendiri tidak puas hati dengan produk (sendiri), macam mana nak bagi kat orang lain,’’ seloroh Faris ringkas dengan erti tersirat.

PEDANG samurai dan kraftangan-kraftangan yang dihasilkan.
PEDANG samurai dan kraftangan-kraftangan yang dihasilkan.

Bagi perancangan masa depan, Faris ingin mempelbagaikan lagi produknya dan bercadang memiliki premisnya sendiri.

“Malah, saya juga ingin menghadiri kursus bagi meningkatkan lagi kebolehan diri,’’ jelasnya yang memperoleh bekalan kayu daripada hutan-hutan berhampiran.

Sebelum mengakhiri sesi wawancara, Faris turut menasihati anak-anak muda supaya tidak mengamalkan budaya lepak.

“Daripada buang masa dok lepak, baik fikir sesuatu yang boleh datangkan hasil.

“Masa muda memang saya lepak juga sebab ‘tak nampak’. Tapi, bila dah boleh berfikir (umur 20-an), saya berubah,’’ katanya yang turut minat menanam pokok bonsai bagi tujuan melepaskan tekanan.

 

 

 

INFO :

Nombor Telefon : 017 – 565 6282