Pulau Pinang anak tiri Malaysia

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI
Ahli Parlimen Bukit Bendera
merangkap Pengarah
Eksekutif Penang Institute

Tuan yang dipertua,

SLOGAN besar yang dilaungkan Perdana Menteri semasa membentangkan RMK11 adalah “Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat.” Dalam prakata dokumen RMK11 pula, matlamat yang tertera adalah untuk mencapai “aspirasi menjadi negara maju yang inklusif dan mampan menjelang tahun 2020.”

Dalam pemahaman saya, apabila ungkapan “inklusif” digunakan, ia membawa maksud bahawa apa-apa hasil kemajuan dan pembangunan akan dikongsi dan dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia. Namun, saya ragu sama ada RMK11 ini benar-benar inklusif sebagaimana yang dijanjikan, apabila jelas terdapat wilayah-wilayah tertentu yang tidak diberi perhatian yang secukupnya.

Bagi pihak rakyat Pulau Pinang, saya ingin menzahirkan perasaan dukacita kerana negeri kami seolah-olah dipulaukan dan tidak diberi layanan yang adil dan saksama. Walaupun Perdana Menteri menjanjikan pelaburan yang paling besar dalam sejarah Malaysia dengan nilai RM260 bilion untuk merealisasikan RMK11, namun nampaknya tiada apa-apa yang signifikan untuk salah sebuah negeri utama di negara kita, iaitu Pulau Pinang.

Ambil sebagai contoh, salah satu daripada enam “pemacu perubahan” ataupun game changer yang diutarakan oleh RMK11, iaitu “melabur dalam bandar berdaya saing”. Strategi yang dicanangkan ini adalah langkah yang bijak, kerana bandar kini memainkan peranan yang sangat penting dalam memangkin pertumbuhan negara. Sesebuah bandar yang maju bukan sekadar dapat menjana peluang pekerjaan dan perdagangan yang banyak, ia juga dapat menghubungkannya kepada penduduk kawasan pinggir bandar dan luar bandar.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan akan merangka pelan induk daya saing (competitiveness master plans) bagi empat bandar utama, iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu. Pelan induk ini akan dibangunkan berdasarkan prinsip mewujudkan kepadatan, memperluas pembangunan berorientasikan transit (transitoriented development), mengukuhkan kluster berasaskan pengetahuan (knowledge-based clusters), meningkatkan daya huni (liveability), menggalakkan pembangunan dan amalan hijau dan memastikan inklusiviti.

Amat malang sekali, Pulau Pinang tidak termasuk dalam senarai bandar-bandar utama tersebut.

Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku, sedangkan Pulau Pinang adalah bandar paling utama di negara kita selepas Kuala Lumpur? Malah, Pulau Pinang juga diberi pengiktirafan antarabangsa sebagai bandar ke-8 paling berdaya huni di Asia, sementara Kuala Lumpur hanya menduduki kedudukan ke-10.

Oleh itu, pengecualian Pulau Pinang daripada pelan induk daya saing tidak masuk akal langsung, khusus sekali apabila kita mempertimbangkan kriteria yang digunakan dalam dokumen RMK11, iaitu saiz penduduk, sumbangan KDNK, infrastruktur sedia ada,geografi serta prinsip inklusiviti serta agihan saksama.

Dari segi populasi, Pulau Pinang mempunyai hampir 1.7 juta penduduk, dan jika dikira kawasan-kawasan pinggiran yang merangkumi “Greater Penang Conurbation”, populasi metropolitannya adalah hampir tiga juta orang. Tambahan pula, selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang mempunyai kepadatan penduduk yang paling tinggi, iaitu 1,500 orang sekilometer persegi.

Bagi kriteria KDNK pula, Pulau Pinang adalah antara yang terbesar di Malaysia. Pada tahun 2014, KDNK Pulau Pinang adalah RM67 bilion, iaitu kelima tertinggi selepas Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Sarawak. Pencapaian ini adalah signifikan memandangkan Pulau Pinang juga adalah negeri kedua terkecil selepas Perlis. Ini diterjemahkan kepada kadar KDNK per kapita yang tinggi. Umpamanya, pada tahun ini KDNK per kapita Pulau Pinang dijangka mencecah RM46,019, iaitu ketiga tertinggi di Malaysia dan melebihi Selangor yang dijangka mencatat RM45,617. Ini adalah bukti bahawa Pulau Pinang merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia.

Untuk kriteria infrastruktur pula, umum mengetahui bahawa Pulau Pinang merupakan hab logistik utara, di mana terletaknya pelabuhan, lapangan terbang dan stesen keretapi utama. Oleh itu, Kerajaan sepatutnya memantapkan lagi infrastruktur sedia ada untuk memangkin pertumbuhan ekonomi di seluruh wilayah utara.

Dari segi pemusatan institusi pengajian tinggi, Pulau Pinang juga merupakan hab pendidikan bagi semua peringkat, dari pra-sekolah sehingga ke pendidikan tertiari. Di samping sembilan sekolah antarabangsa, kami juga mempunyai salah satu IPTA terunggul, iaitu Universiti Sains Malaysia, serta beberapa lagi kolej dan universiti kolej swasta. Tambahan pula, Pulau Pinang juga telah menarik minat universiti asing seperti Hull University dari UK yang akan menubuhkan kampus mereka di Batu Kawan.

Bagi kriteria kelebihan geografi, adalah sukar untuk menafikan bahawa Pulau Pinang mempunyai lokasi yang sangat strategik, baik dari segi air, udara atau jalanraya. Lebih daripada itu, Pulau Pinang juga merupakan noda yang menyambungkan rantau Thailand Selatan dan Indonesia Utara.

Akhir sekali, berdasarkan prinsip inklusiviti, empat bandar yang dipilih itu mewakili Sabah, Sarawak serta wilayah tengah dan selatan Semenanjung. Ini bermaksud bahawa wilayah utara Semenanjung telah dipinggirkan sama sekali. Oleh itu, bagaimanakah pilihan bandar-bandar ini boleh dikatakan sejajar dengan prinsip inklusiviti?

Jelas, Pulau Pinang bukan sahaja berhak tetapi sepatutnya menjadi pilihan utama untuk program pelan induk daya saing bandar ini. Pembangunan Pulau Pinang terbukti dapat memangkinkan pertumbuhan wilayah utara secara khusus dan negara Malaysia secara amnya. Malangnya, Kerajaan lebih suka mengambil pendekatan ibarat kerana nyamuk seekor, kelambu dibakar dengan meminggir rakyat Pulau Pinang atas dasar politik yang sempit.

Ini bukan kali pertama Pulau Pinang dianaktirikan. Saya ingin mengingatkan Dewan yang mulia ini mengenai janjijanji manis yang terkandung dalam RMK9 (2006-2010). Antaranya, projek monorel RM2 bilion telah diumumkan untuk menaiktaraf pengangkutan awam di Pulau Pinang. Malah, tender projek tersebut telah pun dijalankan dan dianugerahkan.

Namun, setelah BN tewas di Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum 2008, dengan tibatiba projek tersebut telah dihentikan semasa kajian separuh penggal (mid-term review). Nasib yang sama juga menimpa projek Penang Outer Ring Road (PORR) yang bernilai RM1.5 bilion.

Seperti biasa, Kerajaan BN selalu meletakkan kepentingan politik sebelum kepentingan rakyat. Namun demikian, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak hanya duduk berdiam. Walaupun mempunyai sumber kewangan yang terhad, Kerajaan Negeri bertekad untuk menyelesaikan masalah lalulintas yang sekian lama ini menghantui rakyat Pulau Pinang.

Oleh itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang bernilai RM27 bilion. Kini dalam peringkat tender untuk Project Delivery Partner (PDP), projek ini merupakan pelan bersepadu berdasarkan kajian menyeluruh yang dimulakan pada tahun 2011 dan merangkumi pembinaan lebuhraya-lebuhraya baru, LRT, Trem, sistem bas baru, pengangkutan air, serta terowong bawah dasar laut pertama di rantau Asia Tenggara

Matlamat projek ini adalah untuk mengintegrasikan sistem pengangkutan dengan pelan pembangunan agar rakyat dapat digerakkan dari rumah mereka ke tempat kerja atau pusat komersil dengan mudah tanpa kesesakan lalulintas. Meskipun dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan atas sebab politik, dan walaupun kekurangan sumber dan dana pembangunan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetap komited untuk melaksanakan tanggungjawabnya terhadap rakyat dengan menyediakan infrastruktur terbaik bagi membangunkan daya huni dan memangkin pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Biarpun dipinggirkan, Pulau Pinang tetap akan mara ke depan.

Sekian, terima kasih.