Pulau Pinang – hab kargo terbesar DHL

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: LAW SUUN TING

BATU MAUNG – Syarikat penghantaran dan logistik kargo, DHL Express Malaysia (DHL) mengembangkan sayapnya di Pulau Pinang dengan penambahan ‘pintu masuk’ atau gudang baru bernilai RM10 juta di Kompleks Kargo Kedua Negara, Bayan Lepas di sini baru-baru ini.

Penambahan gudang seluas 4,000 kaki persegi tersebut menjadikan DHL di Pulau Pinang sebagai hab kargo terbesar syarikat terbabit di dalam negara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir merasmikan projek naiktaraf berkenaan memuji usaha DHL yang terus mengembangkan perniagaannya di Pulau Pinang memandangkan industri logistik dan pembuatan di negeri ini dilihat turut semakin berkembang.

“Sektor pembuatan masih kekal sebagai penyumbang utama untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM63 bilion merangkumi 48.4 peratus pada tahun 2013.

“Selain itu, Pulau Pinang juga kekalsebagai hab utama bagi industri elektrik dan elektronik dan dengan penambahan (pembesaran DHL) ini, ianya dilihat bertepatan seiring dengan perkembangan industri di negeri ini,” ucapnya pada Majlis Perasmian Pembukaan Pintu Masuk DHL di Kompleks Kargo Kedua Negara, Bayan Lepas di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif DHL Asia Pacific, Jerry Hsu.

Menurut Jerry, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mempunyai ekonomi kukuh berbanding negara-negara Asia yang kini sedang membangun.

“Oleh itu, kami (DHL) ingin mengembangkan perkhidmatan kami di wilayah ini berdasarkan permintaan pelanggan.

“Pembukaan pintu masuk baru di Pulau Pinang merupakan satu proses evolusi dengan lokasi strategik menghubungkan Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Syarikat,” ujarnya.

Selain Malaysia, DHL yang berasal dari Amerika Syarikat turut menyediakan perkhidmatan penghantaran melalui kargo udara, kargo laut dan darat melangkau 220 buah negara dengan sokongan 315,000 kakitangan.

Pengembangan perkhidmatan DHL di negeri ini turut dilihat sebagai satu usaha dalam membantu proses transformasi Pulau Pinang kepada bandar pintar, selesa, mudah dihubungi serta dinamik.