Pulau Pinang lancar Jawatankuasa Ops Lumpur, pantau hakisan dan sedimentasi

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Exco baru-baru ini bersetuju untuk menubuhkan suatu jawatankuasa dan pasukan petugas khas dikenali Jawatankuasa Ops Lumpur yang berperanan memantau operasi pemeriksaan pematuhan syarat-syarat kelulusan kerja tanah atau pelan kawalan hakisan serta kelodak (ESCP) bagi seluruh negeri.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow ketika mengumumkannya berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut diharap dapat mengawal dan mengurangkan risiko banjir lumpur yang berlaku di tapak-tapak binaan, di samping memantau sebarang pencemaran melibatkan kualiti air, hakisan dan sedimentasi (enapan).

“Sasaran Jawatankuasa Ops Lumpur ini pastinya projek-projek pembangunan dan binaan yang telah mendapat kelulusan merancang di seluruh negeri Pulau Pinang mengikut pembahagian sama ada di peringkat negeri yang akan diterajui oleh Jawatankuasa Induk atau Jawatankuasa Pelaksana di peringkat daerah oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

“(Dan) sama ada pemaju atau wakil projek pembangunan berkaitan mematuhi atau gagal mematuhi Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) atau Penilaian Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) atau pelan kerja tanah, jawatankuasa ini akan menjalankan pemantauan dan melaksanakan penguatkuasaan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan 2012) (Akta A1441), Jabatan Alam Sekitar (JAS) atau di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) Pihak Berkuasa Tempatan,” jelasnya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Ops Lumpur Bil.1/2017 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Ir. Sabri Abdul Mulok dan Timbalan Pengarah JPS Sektor Pengairan & Saliran, Ir. S. Ratna Rajah.

Wakil-wakil dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), JAS, Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri (BPEN), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jurutera Daerah dan Pegawai Daerah bagi kelima-lima daerah turut serta dalam mesyuarat tersebut.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa pihaknya kini giat merangka pelan tindakan strategik jangka pendek dan panjang bagi memantau serta melaksanakan operasi.

“Kami (Jawatankuasa Ops Lumpur) menjangkakan operasi pertama pada suku kedua tahun ini dan Jawatankuasa Pelaksana yang dilantik bagi operasi ini akan menjalankan pemeriksaan mengikut kepakaran masing-masing menggunakan senarai semak standard operating procedure (SOP).

“(Dan) Jawatankuasa Pelaksana digalakkan melaksanakan operasi bukan sahaja semasa musim hujan, tetapi sekurang-kurangnya sekali sebulan bagi setiap daerah di Pulau Pinang.

“JPS dan JAS pula akan menumpukan aspek pematuhan ESCP dan tindakan penguatkuasaan akan ditentukan berdasarkan akta yang telah ditetapkan. Sekiranya perlu, pemantauan susulan akan dijalankan oleh Jawatankuasa Pelaksana dan segala hasil pemeriksaan perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Induk dalam tempoh tujuh hari selepas operasi,” ujarnya.

Jawatankuasa Ops Lumpur Peringkat Negeri (Induk) akan dipengerusikan Kon Yeow dan Hock Seng serta Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa berkaitan.

Manakala di peringkat daerah, Jawatankuasa Pelaksana akan dipengerusikan oleh Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail bagi kawasan pulau dan Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif, Seberang Perai.

JPS dilantik sebagai urusetia bagi kedua-dua peringkat jawatankuasa berkaitan.