Pulau Pinang lancar kempen Saya Sayang Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 8 Februari lalu membuat keputusan untuk meneruskan kempen ‘Saya Sayang Pulau Pinang’.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika mengumumkannya berkata, kempen berkaitan dilancarkan bagi ‘menyelamatkan’ negeri Pulau Pinang daripada menjadi Wilayah Persekutuan (WP).

“Kita semua perlu selamatkan Pulau Pinang dengan menyayangi Pulau Pinang.

“Oleh demikian, Mesyuarat Exco hari ini (8 Februari) melancarkan secara rasmi kempen ‘Saya Sayang Pulau Pinang’ untuk seluruh negeri. (Dan) YB Chow (Kon Yeow, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir) diberi tanggungjawab untuk meneruskan kempen ini,” ujarnya di sini.

Hadir sama pada sidang media berkaitan ialah barisan Exco Kerajaan Negeri. Malah, sebagai simbolik kepada pelancaran kempen ‘Saya Sayang Pulau Pinang’, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri turut menunjukkan plakad tertera ungkapan berkaitan dalam empat bahasa.

Mengulas lanjut, Guan Eng turut membidas tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan kempen berkaitan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.

“Perlu diingatkan, apabila Pulau Pinang ditukar menjadi Wilayah Persekutuan (WP), maka rakyat tidak dapat memilih pemimpin sendiri, ahli Exco, Ketua Menteri seperti yang terjadi kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan (WP) Labuan.

“Sekiranya ini berlaku (menjadi WP), maka hilanglah hak demokrasi dan hak asasi warga Pulau Pinang,” jelasnya yang menyeru agar semua pihak khususnya warga Pulau Pinang untuk bangkit menyokong kempen ‘Saya Sayang Pulau Pinang’.

Sementara itu, pada sidang media berasingan, Guan Eng menyatakan bahawa hasrat Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menjadikan Pulau Pinang, Pulau Langkawi, Kedah dan sebahagian negeri Melaka sebagai WP bukan sahaja tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, malah perkara langsung tidak pernah dibincangkan.

“Sekiranya kita merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, Perkara 1 (2) jelas meletakkan Pulau Pinang sebagai salah sebuah daripada 13 negeri yang terdapat di Malaysia.

“(Dan) Wilayah Persekutuaan disebut dalam Perkara 1(4) yang menyenaraikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan, tidak disebut negeri Pulau Pinang pun,” jelasnya.

Guan Eng dalam pada itu menegaskan bahawa beliau tidak akan menjual masa depan rakyat dengan menyerahkan Pulau Pinang menjadi WP.

“Bagi Pulau Pinang, memang kami tidak gembira langsung dan tidak mahu serah negeri menjadi Wilayah Persekutuan (WP).

“Kerajaan Persekutuan mana ada wang… peruntukan RM50 juta untuk sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan Cina yang dijanjikan tahun lepas (2016) sehingga kini pun tidak diberikan lagi.

“(Dan) saya tidak akan jual masa depan rakyat Pulau Pinang dengan menyerahkan negeri sebagai Wilayah Persekutuan (WP), dan sekiranya ingin menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan (WP)…mereka (Tengku Adnan dan Kerajaan Persekutuan) perlu persetujuan daripada Kerajaan Negeri.

“(Dan) saya nyatakan sekali lagi dengan tegas, tanpa keraguan, tidak…tidak akan ‘serah’ Pulau Pinang,” tegas beliau.

Terdahulu, Tengku Adnan menyatakan hasratnya sempena Sambutan Hari Wilayah, 1 Februari lalu, untuk menjadikan Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan sebahagian negeri Melaka sebagai WP.

Kenyataan sebagai dipetik melalui Malay Mail Online bertajuk, ‘Tengku Adnan hopes to expand Federal Territories to Penang, Langkawi and parts of Malacca‘, menyatakan bahawa penyertaan Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan Melaka sebagai Wilayah Persekutuan akan membolehkan ketiga-tiga negeri berkaitan menerima peruntukan dan perhatian yang lebih daripada Kerajaan Persekutuan.

Nota:

Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Bahagian I, Perkara 1 (2) menyatakan : –

• Negeri – Negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Manakala, Perkara 1(4) menyebut : –

• Wilayah bagi Negeri Selangor tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 1973 [Akta A206] dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) 2001 [Akta A1095] dan wilayah bagi Negeri Sabah tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan)(No. 2) 1984 [Akta A585] dan kesemua Wilayah Persekutuan tersebut hendaklah menjadi wilayah-wilayah Persekutuan.