Pulau Pinang sebagai lokasi anjuran ekspo perdagangan dan makanan berskala besar

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

PANTAI JEREJAK – Pulau Pinang merupakan antara negeri berpotensi tinggi bagi penganjuran ekspo perdagangan makanan dan minuman berskala besar selepas tular sebagai destinasi makanan terbaik barubaru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata, penganjuran ekspo-ekspo berkaitan makanan sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat, bahkan ada yang sanggup datang dari luar Pulau Pinang hanya untuk menikmati makanan tempatan di sini.

“Pada pengamatan saya, ekspo-ekspo seperti ini sentiasa dekat di hati masyarakat.

“Industri makanan di Pulau Pinang juga dilihat sangat memberangsangkan, ditambah pula dengan kreativiti usahawanusahawan muda yang kini gemar membangunkan produk-produk moden yang sesuai dengan peredaran masa.

“Lantas usaha tersebut akan menjadikan usahawan-usahawan ini lebih inovatif serta berdaya saing,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak ketika merasmikan penganjuran Foodlicious International Food & Beverage Trade Expo 2017 di sini baru-baru ini.

Ekspo yang berlangsung dari 17 hingga 19 Mac lalu menyaksikan lebih 100 pengusaha makanan dan minuman dari dalam dan luar negara berkampung di Subterranean International Convention and Exhibition Centre (SPICE) untuk mempromosikan produk masing-masing.

Selain makanan dan minuman, terdapat juga barangan lain seperti pakaian serta barangan penjagaan kesihatan dipamerkan pada penganjuran berkenaan.

Menurut Mohd. Rashid, faktor keunikan makanan di negeri ini juga telah menjadikan Pulau Pinang tular dalam kalangan media antarabangsa dan penggiat-penggiat blog, sebagai destinasi makanan terbaik yang wajar dikunjungi.

“Kita bukan sahaja telah disebut-sebut sebagai lokasi makanan sedap dalam kalangan masyarakat, malah media antarabangsa seperti CNN dan Lonely Planet turut mengiktiraf keistimewaan makanan Pulau Pinang,” ujarnya.