Pulau Pinang sokong petisyen bantah bina loji kuasa nuklear

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah negeri pertama yang menyuarakan tentangan terhadap pembinaan loji tenaga kuasa nuklear di Malaysia dan akan terus berbuat demikian demi memastikan rakyat selamat daripada pencemarannya.

Nada tegas tersebut disuarakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika merasmikan sambutan Hari Bumi dan Majlis Penyampaian Sijil Idola Hijau Pulau Pinang 2017 anjuran Penang Green Council (PGC) di sini 22 April lalu. Guan Eng berkata, sejak 2010, Kerajaan Persekutuan telah mencadangkan pembinaan dua loji kuasa nuklear di Malaysia.

“Kita bimbang jika mereka (Kerajaan Persekutuan) bakal menandatangani kontrak dengan industri loji kuasa nuklear tanpa pengetahuan rakyat.

“Tindakan Kerajaan Persekutuan yang menyembunyikan rancangannya untuk membina loji tenaga nuklear daripada rakyat sememangnya tidak boleh diterima,” tegasnya yang juga Pengerusi PGC pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap Naib Pengerusi PGC, Phee Boon Poh dan Pengurus Besar PGC, Thing Siew Shuen.

Mengulas lanjut, sebagai tanda sokongan padu, Guan Eng menyatakan bahawa semua tandatangan yang telah dikumpul sebelum ini bersama-sama petisyen atas talian Gabungan Menentang Nuklear Malaysia atau MyCan akan diserahkan kepada Putrajaya dalam tempoh terdekat.
“Kita (Pulau Pinang) akan menunjukkan sokongan padu terhadap petisyen dalam talian yang dilancarkan semula oleh MyCan dan semua tandatangan yang telah terkumpul akan diserahkan ke Putrajaya dalam masa terdekat,” ujarnya.

Pada penganjuran tersebut, Nur Wafa Yusra Fakhurrazi dinobatkan sebagai juara Idola Hijau Pulau Pinang 2017 bagi Kategori A, Kategori B (S. Sanjit) dan Kategori C (T. Rashmira).

Ekoran kemenangan tersebut, ketigatiga pemenang bakal membantu PGC menumpukan usaha serta menyebarkan ideaidea revolusi untuk meningkatkan kesedaran umum berhubung perubahan iklim.