Pulau Pinang sumbang 85% jumlah eksport emas, barang kemas Malaysia

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Industri emas dan barang kemas di negeri ini telah bermula sejak dua abad lalu, dan Pulau Pinang merupakan penyumbang utama sektor berkaitan di Malaysia.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, eksport emas dan barang kemas bagi Malaysia pada tahun 2016 adalah bernilai RM7.2 bilion.

“Daripada jumlah tersebut (RM7.2 bilion), Pulau Pinang menyumbang sebanyak RM6.1 bilion atau bersamaan 85 peratus.

“Malah, syarikat-syarikat emas di Pulau Pinang juga telah mengekport emas dan barangan kemas ke lebih 20 negara menjadikan produk emas dari Pulau Pinang eksklusif di persada antarabangsa,” ucapnya pada Majlis Perasmian Penang Signature Gold Fair 2017 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Datin Seri Utama Toh Puan Datuk Seri Hajah Suzanna Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Elite Expo Sdn. Bhd., Johnson Lim; Presiden P.W. Gold & Silver Ornament Merchants Association, Chiah Hock Yew; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dr. Noraini Ahmad dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye.

Dalam pada itu, Guan Eng turut mengumumkan inisiatif yang diambil lima syarikat perkilangan emas dan barangan kemas di bawah Penang Goldsmith Association yang melabur RM49.6 juta bagi membangunkan Kluster Emas dan Barangan Kemas di atas tapak berkeluasan 4.2 ekar di Taman Perindustrian Batu Kawan, Seberang Perai Selatan (SPS).

“Pelaburan daripada kelima-lima syarikat itu akan mewujudkan 730 peluang pekerjaan baru termasuk pertukangan emas profesional.
Ini akan menambahkan bakat pekerja mahir di Pulau Pinang yang kini berjumlah kira-kira 8,000 orang.

“Malah pertumbuhan syarikat dalam industri emas dan barangan kemas di Pulau Pinang turut memberikan suatu lagi rangsangan terhadap penjenamaan ‘Powered in Penang’, iaitu Pulau Pinang sebagai suatu negeri keusahawanan yang terus menjadi destinasi pilihan untuk pelaburan yang baik sama ada industri tradisional mahupun perniagaan baharu.

“(Dan) Kerajaan Negeri menerusi agensi seperti investPenang (iP) dan PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) akan terus menyediakan kemudahan, promosi dan menyokong pertumbuhan dan perkembangan industri ini (emas dan barangan kemas),” jelasnya.

Difahamkan, Penang Signature Gold Fair 2017 merupakan satu-satunya pameran yang mengumpulkan pengilang emas dan barangan kemas dari seluruh dunia antaranya China, Dubai, India, Nepal, Thailand dan Taiwan.

Dianjurkan oleh Elite Expo Sdn. Bhd. dan P.W. Gold & Silver Ornament Merchants Association, penganjuran Penang Signature Gold Fair bakal menjadi medan pameran perniagaan emas dan barangan  kemas ulung di Asia Tenggara bertempat di Pulau Pinang.