Pulau Pinang tempat berhimpunnya bakat, penuhi impian semua

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI

BAGAN DALAM – Kejohanan Taekwon-Do ITF (Senior) Peringkat Kebangsaan 2017 yang berlangsung di Pulau Pinang baru – baru ini menghimpunkan seramai 250 peserta dari semua negeri demi memburu kejuaraan.

Pada majlis perasmian, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pihaknya berharap kejohanan tersebut dapat menyemarak semangat kesukanan dalam kalangan semua yang terbabit.

“Di gelanggang, semua mesti ‘lawan tetap lawan’, tapi ‘masih kawan’ selepas berlawan di gelanggang, semua mesti boleh berkawan, ajak keluar makan kerana makanan di Pulau Pinang antara paling sedap di dunia.

“Pulau Pinang sebenarnya adalah tempat berhimpunnya bakat-bakat, seperti 250 peserta yang berhimpun untuk memburu kejuaraan, kerana Pulau Pinang boleh memenuhi impian anda,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan di Dewan Sree Mariamman dekat Butterworth di sini 30 Disember lalu.

Demi menghargai bakat-bakat dalam acara sukan mempertahan diri tersebut, menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang turut menyumbang RM10,000 demi menjayakan kejohanan kali ini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai acara perasmian pembukaan kejohanan tersebut, yang berlangsung selama tiga hari sejak 29 Disember lalu.

Sebelum itu, wakil penganjur memberitahu bahawa kejohanan pada kali ini adalah bersejarah kerana Pulau Pinang merupakan tuan rumah kejohanan kali pertama peringkat kebangsaan pada tahun 2001 sebelum ini.