Purata hasil padi per hektar semusim Pulau Pinang kedua tertinggi selepas Selangor – Afif

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Purata 5.8 metrik tan hasil padi per hektar semusim Pulau Pinang berada pada kedudukan  kedua di belakang negeri Selangor.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin bagaimanapun berkata, angka pencapaian negeri yang direkodkan ketika ini masih berkurangan berbanding sasaran 7 metrik tan sehektar semusim di peringkat nasional.

“Jumlah padi yang dihasilkan juga adalah mencukupi untuk menampung keperluan 87 peratus penduduk Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya dalam sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 baru-baru ini.

Selain itu, menurut Afif, sejumlah RM3.29 juta diperuntukan di bawah program-program pembangunan bagi tahun 2017.

Beliau memberitahu, angka itu merangkumi program Pembangunan Tanaman Padi (RM500,000); Pembangunan Tanaman Buah-Buahan (RM400,000); Pembangunan Sayur-sayuran (RM400,000); Pembangunan Petani Pelapis (RM50,000).

Pembangunan lain-lain, Afif menyatakan bahawa, Tanaman Ekonomi seperti tanaman herba (RM200,000); Pembangunan Kawasan Kelapa termasuk kelulut (RM200,000); Program Perkhidmatan Kejuruteraan (RM250,000); Pembangunan Industri Pemprosesan Makanan (RM180,000); Industri Ruminan (RM600,000); Rancangan Pembangunan Perkhidmatan Sokongan Penternakan (RM100,000); Industri Nilai Tinggi seperti industri burung walit (RM230,000) dan Penternakan Industri Unggas (RM180,000).

“Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM300,000 bagi melahirkan modal insan, iaitu di bawah Pembangunan Khidmat Pengembangan,” jelasnya.

Bagi pembangunan desa, maklum Afif, Kerajaan Negeri pada tahun 2017 telah membelanjakan hampir RM800,000 bagi Projek Khas Ekonomi termasuk RM91,229.21 bagi Program Peningkatan dan Pemulihan Ekonomi (Bantuan Peralatan), Program Bina Baru Rumah Rakyat Miskin (RM501,100.00) dan Program Baik Pulih Rumah Rakyat Miskin (RM195,209.60).

“Kerajaan Negeri akan terus membela keluarga kurang berkemampuan terutamanya yang berpendapatan isi rumah di bawah RM500 sebulan. Berkenaan wabak denggi yang dibangkitkan ADUN Batu Uban, Dr. T. Jayabalan, Afif memaklumkan, sehingga April 2017, Pulau Pinang mencatat penurunan sebanyak 1,000  kes atau 61.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2016.

“Sehingga April, kita (Pulau Pinang) cuma mencatatkan 628 kes berbanding 1,628 kes untuk tempoh sama tahun lalu, dan kita (Pulau Pinang) harap angka ini akan terus menurun,” jelasnya.