Pusat diseru jelas sumbangan peruntukan Sekolah Kanak-kanak Terencat Akal Pulau Pinang

DATUK KERAMAT – Kerajaan Persekutuan digesa menjelaskan punca pemberhentian dana sumbangan kepada Sekolah Kanak-kanak Terencat Akal Pulau Pinang sejak Mei 2016.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, nisbah peruntukan yang diterima adalah 1:10 daripada RM30,000 iaitu kos keseluruhan perbelanjaan bulanan sekolah berkenaan.

“(Pemberhentian) ia menjadi tanda tanya, ke manakah duit ini dibelanjakan? Geran dan wang yang selama ini diberi kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tapi dihentikan.

“Bukan itu sahaja, selama ini, kanak-kanak di sini mendapat subsidi makanan daripada kerajaan (Persekutuan), pun dihentikan juga.

“Jika dahulu, mereka (kanak-kanak) mendapat peruntukan makanan seimbang, tetapi kini hanya biskut sahaja,” katanya selepas merasmikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta ramah-mesra anjuran pelajar tahun dua International University Malaya Wales (IUMW) dengan kerjasama MMK Kesihatan dekat sekolah berkenaan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Penolong Kanan Sekolah Kanak-kanak Terencat Akal Pulau Pinang, Ng Lai Peng, Wan Mohd. Azfar Wan Mohd. Zin (Pensyarah IUMW) dan Affiziy Zariel Abd. Halim (Pengarah Projek CSR IUMW).

Menempatkan 85 pelajar dan 18 kakitangan, sekolah yang ditubuhkan pada tahun 1967 itu dibiayai hasil daripada sumbangan serta bantuan orang ramai.

Mengulas lanjut, Afif memberitahu bahawa pihaknya telah berbincang dan memohon agar pihak pengurusan sekolah membangkitkan hal tersebut di peringkat Kerajaan Negeri.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan melihat bagaimana cara untuk membantu masalah ini.

“Namun, pada masa sama, Kerajaan Persekutuan perlu jelaskan mengapa peruntukan ini dihentikan salurannya kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti ini, dan saya percaya pusat ini bukanlah pertubuhan pertama yang menghadapinya, mungkin banyak juga NGO-NGO lain yang turut dihentikan sumbangan,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Mengulas lanjut, kata Afif, walaupun kos yang diterima hanyalah 1:10, tetapi jumlah tersebut dapat memberikan manfaat
kepada kanak-kanak di sini, terutamanya dari segi elaun dan peruntukan bulanan untuk mereka.

Justeru, beliau menggesa orang ramai yang ingin memberikan sumbangan agar terus merujuk dan berurusan dengan pihak pentadbiran sekolah berkenaan.