Pusat Khidmat Bergerak platform aduan & maklumat

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

BAYAN BARU – Pusat Khidmat Bergerak baru dilancarkan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), A. Kumaresan di sini membolehkan orang ramai dan komuniti setempat membuat aduan berhubung pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit serta pendaftaran program- program Emas Kerajaan Negeri.

Kumaresan berkata, dengan tertubuhnya pusat khidmat hasil kerjasama dengan Pusat Khidmat Parlimen Bayan Baru, ia telah memudahkan orang ramai menyalur serta mendapatkan maklumat berkaitan.

“Demi keselesaan orang ramai, mereka boleh membuat aduan atau pendaftaran terus melalui Pusat Khidmat Bergerak ini.

“Mereka bukan sahaja boleh menyalurkan aduan berhubung MPPP, malah, mendapatkan maklumbalas lebih pantas apabila saya sama-sama akan turun padang ke lokasi-lokasi tersebut,” ujarnya kepada wakil Buletin Mutiara di sini baru- baru ini.

Selain itu, menurut Kumaresan, pusat tersebut turut menawarkan sesi pendaftaran program-program Emas Kerajaan Negeri membabitkan warga emas, ibu tunggal, pelajar atau sebarang program anjuran Kerajaan Negeri.

“Kita akan memperbanyakkan lokasi mobil sehenti ini di kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar malam sekitar Parlimen Bayan Baru selain di Bukit Gedung yang diadakan sebelum ini,” ujar beliau.

Sebarang pertanyaan sila hubungi talian 04 – 641 3088.