Pusat Komputer Karpal Singh percuma untuk penduduk

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : SHUM JIAN WEI

AIR ITAM – Demi memastikan pembangunan insaniah dan intelektual kanak-kanak di Kampung Melayu di sini terus berkembang, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mengambil inisiatif mewujudkan sebuah pusat komputer dikenali Pusat Komputer Tuan Karpal Singh khas bagi golongan berkaitan di sini barubaru ini.

Selaras itu, Ramkarpal turut menempatkan sembilan komputer bagi tujuan berkaitan.

“Dalam zaman globalisasi kini, saya percaya setiap individu terutamanya kanakkanak perlu dilengkapkan dengan pelbagai informasi.

“Ini kerana, mereka merupakan pelapis masa depan dan adalah menjadi kepentingan supaya golongan kanak-kanak didedahkan dengan kepakaran dalam mengakses teknologi maklumat yang semakin meluas kini,” ujarnya semasa ucaptama Perasmian Pusat Komputer Tuan Karpal Singh di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai dan balu kepada mendiang Karpal Singh, Gurmit Kaur.

Tambah Ramkarpal, penubuhan pusat tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada kanak-kanak di kawasan tersebut menikmati kemudahan komputer, malah turut menawarkan kelas pembelajaran komputer secara percuma.

“Penubuhan pusat tersebut merupakan satu idea lama yang baru dapat dilaksanakan.

“Saya berharap dapat meneruskan program-program yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita akan terus bekerja keras untuk membantu semua demi meningkatkan mutu kehidupan tanpa mengira kaum,” ujar beliau.