PWCC bantu usahawanita rapat jurang ekonomi antara gender

Admin

TANJUNG BUNGAH – Walaupun kajian semasa dalam negara menunjukkan golongan wanita telah mencapai kemajuan ketara di peringkat pengurusan atasan, namun masih terdapat jurang halangan untuk ke peringkat lembaga pengarah.

Berdasarkan statistik, terdapat percanggahan di dalam sektor tenaga kerja apabila hanya 53 peratus wanita direkodkan dalam tenaga kerja negara, berbanding 68 peratus daripada jumlah penuntut wanita di universitiuniversiti awam.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berkata, angka-angka tersebut adalah lebih rendah berbanding negaranegara jiran seperti Singapura yang mencatatkan sekitar 60 peratus, manakala Thailand (70 peratus) bagi sektor tenaga kerja membabitkan golongan wanita.

“Daripada 53 peratus ini, hanya 24 peratus sahaja membabitkan wanita di peringkat pengurusan atasan, diikuti 10 peratus (lembaga pengarah).

“Oleh itu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan PWCC (Penang Women Chamber of Commerce) sebagai medium untuk mendengar pendapat wanita dan platform bagi meningkatkan jurang ekonomi serta perniagaan di antara gender,” ujarnya pada sambutan Tahun Baru Cina anjuran PWCC di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng dan Presiden PWCC, Datin Annie Chin.

Bersempena penganjuran berkaitan, kira-kira 100 ahli PWCC beramah-mesra sambil bertukar-tukar idea perniagaan sesama sendiri.

Justeru, dalam konteks PWCC, Chong Eng menyatakan bahawa pendedahan kepada akses yang betul akan membantu mengembangkan perniagaan golongan wanita dengan lebih pantas.

“Kebanyakan usahawanita di Asia kurang mendapat akses rangkaian yang sesuai, kurang pengetahuan untuk berurusan dengan birokrasi kerajaan dan kurang kuasa tawar-menawar.

“Kekurangan ini akan menghadkan pertumbuhan dan perkembangan perniagaan mereka. “Oleh itu, kita di PWCC akan membantu golongan ini untuk lebih berkeyakinan berdepan dengan masyarakat, membuat keputusan dan mendidik mereka menjadi seorang usahawan dan pemimpin yang berjaya,” jelasnya.