PWM raikan penghuni rumah kebajikan

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

TANJUNG BUNGA – Seramai 100 kanak-kanak dan 50 ibu-ibu dan bapa-bapa tunggal dari enam rumah kebajikan terpilih diraikan dalam satu Jamuan Teh Hari Keluarga anjuran Pertubuhan Wanita Mutiara (PWM) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Enam buah rumah kebajikan terpilih adalah House of Hope, Persatuan Ibu Tunggal Pulau Pinang, Rumah Seri Cahaya, Women’s Centre for Change, Pusat Perkhidmatan Wanita dan Spastic Children of Penang (Spastic).

Pengerusi PWM, Betty Chew Gek Cheng yang juga isteri kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, penganjuran jamuan yang julung kali diadakan berkenaan adalah bagi menceriakan penghuni rumah-rumah kebajikan terpilih dan meraikan ibu-ibu serta bapa-bapa tunggal yang selama ini bertungkus-lumus memastikan kelangsungan hidup.

“Penganjuran acara sebegini juga membolehkan ibu-ibu atau bapa-bapa tunggal untuk bersama-sama anak masing-masing berhimpun sambil bersuka ria, menikmati makan dan berlibur bersama.

“Saya percaya, melalui acara ini juga kita dapat mengeratkan hubungan sesama penghuni rumah-rumah kebajikan dan antara ibu bapa dan anak-anak.

“Kami(PWM) faham bahawa tanggungjawab serta pengorbanan yang tinggi tidak mampu dibalas dengan wang ringgit, oleh itu, acara ini merupakan ‘hadiah kecil’ untuk mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Jamuan Teh Hari Keluarga di sini baru-baru ini.

Selain jamuan, turut diadakan adalah acara cabutan bertuah, tarian, ‘ballon twisting’, ‘face painting’ dan ‘photo shoot’.

Sebagai rekod, keanggotaan PWM terdiri daripada isteri-isteri kepada Ahli-ahli Parlimen atau Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang.