Qatar Airways mulakan penerbangan Doha – Pulau Pinang

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI

BAYAN LEPAS – Syarikat penerbangan berpangkalan di Timur Tengah, Qatar Airways memulakan penerbangan sulung tanpa henti dari Doha dan tiba di Pulau Pinang, 6 Februari lalu dengan perkhidmatan tiga kali seminggu.

Penerbangan QR 850 menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad (HIA) dan tiba d i Lapangan Terbang Antabangsa Pulau Pinang (PIA) bersama-sama delegasi diketuai Ketua Pegawai Komersial Qatar Airways, Ehab Amin dan Duta Besar Malaysia ke Qatar, Ahmad Fadil Shamsuddin.

Setiba di Pulau Pinang, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ditemani Duta Besar Qatar ke Malaysia, Essa Mohamed Al Mannai; Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad, Datuk Badlisham Ghazali serta Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism, Ooi Chok Yan.

Guan Eng ketika ditemui berkata, sebagai Bandar Warisan Dunia UNESCO yang menawan dan penuh warna – warni kebudayaan serta keharmonian agama, Pulau Pinang pastinya menjadi destinasi pilihan pelancongan.

“Kami (Pulau Pinang) turut menawarkan pelbagai produk pelancongan bertaraf dunia… biarkan deria anda menikmati pemandangan, bunyi-bunyian serta bauan yang akan menarik perhatian anda untuk kembali lagi ke Pulau Pinang.

“Selain pelancongan dan perniagaan, salah satu sektor lain yang boleh dipertimbangakan antara Qatar dan Pulau Pinang adalah memperkasakan industri halal, dan Kerajaan Negeri sedia melihat apa yang boleh dilakukan bagi menjayakannya,” ujarnya  yang turut menzahirkan penghargaan kepada Qatar Airways kerana memilih Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan selepas Kuala Lumpur yang telah beroperasi sejak 2001.

Mengulas lanjut, Guan Eng berharap pembesaran PIA yang diumumkan sebelum ini dapat dilaksanakan segera.

“Tahun lalu, sejumlah 7.2 juta penumpang dicatatkan menggunakan PIA berbanding kapasiti asal yang hanya mampu menampung 6.5 juta penumpang.

“(Dan) dengan pembesaran yang dirancangkan iaitu daripada 6.5 juta penumpang kepada 12 juta penumpang, ia akan merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini,” katanya.

Dalam sidang media berasingan, Ehab Amin mengumumkan bahawa pihaknya akan menambah kekerapan penerbangan kepada empat kali seminggu bermula 1 Julai 2018.

“Buat masa ini hanya tiga kali seminggu iaitu hari Selasa, Khamis dan Sabtu dengan 22 tempat duduk Kelas Perniagaan dan Kelas Ekonomi (232),” katanya.

Difahamkan, penerbangan terus tanpa henti dari Doha ke Pulau Pinang dan sebaliknya mengambil masa 12 jam 30 minit.